Ricardo Pereira turut mencetak nama dalam senarai penjaring. FOTO Reuters
Ricardo Pereira turut mencetak nama dalam senarai penjaring. FOTO Reuters
Reuters

GOL solo hebat oleh Ricardo Pereira dan kesungguhan Jamie Vardy membantu Leicester City melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana ketika membelasah Newcastle United 5-0 yang beraksi dengan 10 pemain, di Leicester, London, awal pagi ini.

Walaupun tanpa perancang tengah, James Maddison yang terpaksa diketepikan berikutan kecederaan buku lali, Leicester masih mampu melakukan permulaan yang baik dengan pertahanan Pereira melengkapkan larian kencang selepas merampas bola daripada pemain pertahanan Newcastle sebelum menyempurnakan gol pada minit ke-16.

Peluang Newcastle untuk bangkit seakan samar selepas pemain tengah Isaac Hayden dilayangkan kad merah sebelum waktu rehat kerana melakukan terjahan keras ke atas Dennis Praet.

Vardy menambah jaringan kedua pada minit ke-54, menyambut hantaran Harvey Barnes untuk buat pertama kali menggunakan kaki kiri dari sudut sukar. Barisan pertahanan Newcastle terus tertekan apabila rembatan Paul Dummett terpantul ke arah Praet sehingga menerjah gawang gol tidak lama selepas itu.

Jamie Vardy (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO Reuters
Jamie Vardy (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO Reuters

Vardy berjaya merampas bola berhampiran kawasan gol untuk menanduk gol keempat hantaran Marc Albrighton pada minit ke-64 dan Wilfred Ndidi menjaringkan gol kelima pada minit akhir permainan masa sebenar.

“Kami mempunyai pelbagai cara yang mana kami mampu menjaringkan gol. Semua orang jelas melihat bawah kami sering melakukan serangan balas pantas, tetapi kini kami mempunyai dimensi berbeza di barisan pertahanan, dan itu adalah apa yang anda lihat hari ini menerusi jaringan berikut,” kata Vardy kepada Sky Sports.

“Saya tumpang gembira dengan persembahannya (Pereira). Kamu dapat melihat bagaimana dirinya, bermain dengan bagus secara konsisten dan dia hanya akan menjadi lebih baik,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 14 mata menjelang kunjungan ke Liverpool manakala Newcastle kendalian Steve Bruce berada di tangga kedua tercorot dan dijadual bertemu Manchester United selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 7:53 AM