AIDIL Sharin Sahak
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak menganggap kejayaan skuadnya mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim ini sebagai sesuatu pencapaian yang tidak mudah dan penuh dengan cabaran.

Beliau bagaimanapun memuji kesungguhan pemainnya berbekalkan semangat dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain sehingga membawa kemenangan ke atas PKNP FC dengan jaringan 4-1 (agregat 6-2) di Stadium Darul Aman semalam.

“Walaupun ini bukanlah satu persembahan yang terbaik di antara semua perlawanan, namun kita berjaya mendapat satu keputusan yang baik pada malam ini dengan sikap dan komitmen tinggi seratus peratus yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat, saya rasa ia bukan senang untuk dicapai.

“Saya bersyukur kerana kita dapat menghasilkan dua gol pada babak pertama oleh Farhan Roslan dan Jonatan Bauman dan diikuti dua gol lagi oleh David Rowley dan Fayadh Zulkifli kita mampu tenangkan tekanan yang diberikan PKNP.

“Kita lihat PKNP bekerja keras dan berjaya menunjukkan kualiti mereka yang tersendiri dan saya harus berterima kasih kepada seluruh penyokong Kedah yang hadir selaku ‘pemain ke-12’ yang ternyata turut membantu menaikkan semangat pemain kita dalam memburu kejayaan.”

Walaupun skuad Lang Merah berjaya mendapatkan jarigan besar, bekas pengendali Home United ini turut mengakui terdapat beberapa kelemahan yang jelas perlu diatasi segera dalam usaha melakukan persediaan ke peringkat separuh akhir nanti.

Menyentuh peluang Kedah dalam pertemuan menentang Pahang di peringkat separuh akhir nanti, Aidil tetap menganggap ia satu saingan yang sukar dan mahu skuadnya terus bekerja keras jika inginkan kejayaan.

“Berjumpa Pahang, kita tahu mereka sebuah pasukan dengan kedudukan kedua Liga Super dan hebat dari segi pemain import, pemain tempatan termasuk jurulatih, dimana kita harus bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang baik di laman sendiri dahulu,” kata Aidil.

“Ia bukan satu tugas yang mudah kerana kita perlukan mentaliti mencari kemenangan pada cabaran yang lebih tinggi diperingkat separuh akhir nanti, namun saya yakin pemain akan bertekad dan berusaha dengan bersungguh sunguh.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:54 PM