X
DOLLAH bantu Pahang julang Piala Malaysia 2013.
DOLLAH bantu Pahang julang Piala Malaysia 2013.


PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengakui skuadnya bakal berdepan saingan getir apabila bertemu Kedah pada aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 19 dan 26 Oktober ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, skuad Lang merah itu kini berada pada prestasi terbaik untuk mengucup piala kedua musim ini.

"Mereka (Kedah) sudah memenangi satu piala iaitu Piala FA dan sudah pasti Pahang yang terlepas Piala FA dan Piala Liga Super mahu menutup saingan Liga Malaysia dengan menjulang kejuaraan.

"Sebab itu saya katakan Kedah adalah pasukan yang mantap dan sering berada pada kedudukan terbaik dan selalu ke pentas final.

"Saya jangkakan perlawanan Pahang dan Kedah akan menyaksikan pertembungan sengit kerana masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Berbanding Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah meraih piala, kini hanya tinggal Pahang dan Selangor saja untuk mencapai misi," katanya.

Justeru, Dollah yang pernah mengendalikan Harimau Malaya mahu memanfaatkan tempoh rehat kira-kira tiga minggu untuk memperkasakan skuad Tok Gajah.

Katanya, ketiadaan enam pemain, termasuk dua import bersama skuad negara diharap tidak menjejaskan persediaan untuk misi menjulang Piala Malaysia.

"Saya harapkan Pahang kembali menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2014," katanya. Untuk rekod, Dollah membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada musim 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 12:38 PM