Abdul Hamid mahu pemanah tingkatkan prestasi. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menggesa pemanah recurve wanita negara segera meningkatkan prestasi bagi menamatkan penantian untuk tampil di pentas Olimpik 2020.

Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata mereka masih mempunyai masa untuk mempersiapkan pemanah bagi menghadapi Kejohanan Asia yang dijadualkan berlangsung November nanti.

"Sukar untuk saya jelaskan peluang mereka berdasarkan dua siri Piala Asia yang diharungi namun masih ruang untuk membaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi.

"Mereka masih mempunyai tempoh untuk berlatih.

Selain latihan di Bukit Jalil, kami turut merancang untuk mengadakannya di lokasi berbeza bagi membolehkan semua atlet negara fokus bagi menghadapi Kejohanan Asia dan Sukan SEA," katanya.

Tiada kilauan pingat dalam acara individu dihasilkan pemanah wanita negara pada dua siri Piala Asia namun mereka meraih emas dalam acara berpasukan menerusi Nur Aliya Ghapar, Nur Afisa Abdul Halil dan Loke Shin Hui di Taiwan.

Manakala gandingan Nur Aliya bersama Khairul Anuar Mohamad meraih perak dalam acara campuran semasa di Taiwan dan siri ketiga Piala Asia di Filipina.

Kejohanan Asia yang menawarkan tiket individu dijadual berlangsung di Bangkok dari 22 hingga 28 November turut menyaksikan tiga tiket individu ditawarkan kepada atlet dari negara yang masih belum layak ke Tokyo.

Kali terakhir pemanah wanita negara layak ke Olimpik adalah pada 2012 menerusi Nurul Syafiqah Hashim.

Sehingga kini Khairul Anuar menjadi wakil tunggal pemanah negara yang sudah menempah tiket ke Olimpik 2020 selepas meraihnya di Kejohanan Dunia di Belanda pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 7:19 PM