Yoke Meng rehatkan ramai pemain utama. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


TIDAK mahu pemain utama kelihatan terutama bagi saingan individu, ketua jurulatih remaja negara, Kwan Yoke Meng menggunakan pendekatan berani merehatkan pemain utama bagi aksi berpasukan campuran.

Menurut Yoke Meng, beliau tidak mahu pemain tonggak berasa kepenatan apabila bermulanya aksi individu selepas ini.

"Saya juga mahu semua pemain mencuba gelanggang di Kazan (Russia) dan merasai sendiri atmosfera bermain di Kejohanan Remaja Dunia iaitu saingan berprestij bagi peringkat remaja," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Pendekatan yang digunakan oleh Yoke Meng untuk menggilir pemain membuahkan hasil kelmarin selepas menumpaskan pasukan pilihan utama Kumpulan B, Russia 3-2.

Anak buahnya juga tidak berdepan masalah untuk menumpaskan pasukan pilihan kedua Kumpulan B, Kanada 4-1 dan turut menjadikan Macau sebagai mangsa belasahan kelmarin dengan mencatat kemenangan 5-0.

"Pasukan kali ini mempunyai kekuatan seimbang kecuali beregu campuran, Yap Roy King-Gan Jing Err.

Memang kita sangat mengharapkan mereka," katanya.

Dalam aksi berdepan Kanada semalam, Roy King- Jing Err menghadiah mata pertama selepas menumpaskan Jonathan Chien-Crystal Lai 21-11, 11-21, 21-16.

Bagaimanapun, Kanada menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita mereka, Ng Talia selepas mengalahkan Tan Zhing Yi, 21-10, 21-14.

Malaysia memperoleh mata percuma apabila lawan Kok Jing Hong, Chen Yunzhi menarik diri selepas mengalami kecederaan buku lali ketika ketinggalan 7-21, 4-11.

Beregu wanita mengesahkan kemenangan negara apabila Go Pei Kee-Teoh Le Xuan menumpaskan Catherine Choi-Zhang Wen Yu 21-12, 18-21, 21-13.

Gandingan Ching Kai Feng-Lwi Sheng Hao memberikan mata keempat selepas mengetepikan Alexander Bianchini-Colin Jia, 21-9, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 7:26 PM