PEMAIN Bayern berpesta selepas membelasah Tottenham di London. - FOTO EPA
AFP

EMPAT jaringan Serge Gnabry pada babak kedua membantu Bayern Munich membelasah Tottenham 7-2 dalam aksi Liga Juara Juara awal pagi tadi sekali gus kekalahan terbesar dialami kelab Inggeris di tempat sendiri dalam kejohanan Eropah.

Juara Bundesliga yang ketinggalan menerusi gol awal Son Heung-min bangkit menukar ‘gear’ dengan mempamerkan ketajaman sentuhan penyudah dalam hujan di utara London.

Harry Kane memberikan harapan kepada skuad tuan rumah menerusi penalti untuk kedudukan 4-2 namun tetap gagal mengekang naluri pemusnah juara lima kali Eropah itu.

"Malam gemilang buat Bayern Munich dan bola sepak Jerman,” kata pengurus Bayern, Niko Kovac. "Beraksi dengan cara seperti ini di England memang unik.”

"Saya simpati dengan rakan sejawatan (pengurus Spurs, Mauricio Pochettino)," katanya sambil memuji aksi cemerlang Gnabry dan Manuel Neuer.

Spurs yang mara ke final Liga Juara Juara pada Jun lalu tetapi tewas kepada Liverpool turut bergelut dalam kempen awal musim ini dengan hanya meraih satu mata dalam tiga perlawanan.

Pochettino pula berdepan tugas berat memulihkan semangat pemain dan mahu pasukannya kekal bersatu akibat kekalahan memalukan di stadium baharu mereka.

"Paling penting kekal tenang, tak perlu tergesa-gesa analisa dan penilaian,” katanya sambil mengagumi ketajaman penyudah Bayern yang memiliki 11 percubaan tepat.

"Anda perlu menunjukkan kualiti seorang lelaki dan berdepan sebagai profesional, anda perlu kuat.”

Babak awal perlawanan tidak menampakkan tanda ‘bala’ menimpa Tottenham yang berhak mendahului menerusi rembatan Heung-min pada minit ke-12 tetapi pantas disamakan Joshua Kimmich tiga minit kemudian dan skuad tuan rumah mampu bersaing sengit dengan Bayern hampir keseluruhan babak pertama.

Bayern kembali di depan sejurus sebelum rehat hasil rembatan Robert Lewandowski ke penjuru kiri gawang Spurs.

Babak kedua milik bekas pemain Arsenal, Gnabry yang meledak empat gol bagi melengkapkan malam derita Spurs selain Lewandowski turut mencetak satu lagi jaringan.

Kekalahan itu menyaksikan Spurs kali pertama dibolosi tujuh gol di tempat sendiri dalam mana-mana kejohanan utama.

Bayern kini menghuni puncak Kumpulan B dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan manakala Spurs di tempat ketiga dengan hanya satu mata selepas seri dengan Olympiakos dalam aksi pembukaan. Mereka ketinggalan dua mata di belakang Red Star Belgrade yang menewaskan Olympiakos 3-1.

Bayern melebarkan jaringan lapan minit selepas rehat menerusi Gnabry yang menggunakan kepantasan lariannya mengatasi pertahanan Spurs dan meledak rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris.

Gnabry menghukum kesilapan Harry Winks yang kehilangan bola dua minit selepas itu untuk gol keempat Bayern sebelum Kane mengurangkan defisit kepada 4-2 menerusi penalti selepas Danny Rose dikasari pemain lawan setengah jam sebelum tamat perlawanan.

Gnabry melengkapkan hatrik pada minit ke-83 selepas mengatasi pertahanan Spurs dan melepaskan rembatan dalam kotak penalti.

Kelemahan pertahanan Spurs terus dihukum Lewandowski untuk jaringan keenam sebelum Gnabry melengkapkan pesta gol Bayern pada minit ke-88.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 7:25 AM