KANE cuba menembusi gawang Bayern yang dikawal Manuel Neuer. - FOTO Reuters
Reuters

KAPTEN England, Harry Kane perlu bersedia meninggalkan Tottenham Hotspur jika mahu mencerahkan peluang menjulang trofi utama dalam kariernya, menurut bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand.

Kane muncul salah seorang penjaring prolifik dunia dengan menjaringkan 130 gol daripada 185 aksi Liga Perdana bersama Spurs tetapi masih gagal mendakap trofi utama sepanjang kariernya bersama kelab utara London itu.

Spurs kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Liverpool selepas tujuh perlawanan dan situasi tampak lebih buruk selepas dibelasah Bayern Munich 2-7 dalam aksi Liga Juara Juara awal pagi tadi.

"Kekalahan ini menyebabkan saya memandang Harry Kane. Apa fungsi dia dalam perlawanan ini? Adakah dia hanya mahu membantu kelab semata-mata atau mahu menjulang trofi,” kata Ferdinand kepada BT Sport.

"Kemudian anda tanya diri sendiri, adakah Spurs memiliki karakter yang mampu menjulang trofi? Saya tak fikir mereka mampu melakukannya. Mereka mungkin bagus beberapa tahun sebelum ini.”

Ferdinand berdepan persoalan sama ketika awal kariernya bersama Leeds United dan berpindah ke Manchester United pada 2002 dan keputusan itu tepat apabila dia menjulang enam gelaran Liga Perdana dan trofi Liga Juara Juara di Old Trafford.

"Saya mempunyai peluang berpindah. Saya pantas buat keputusan dan menang beberapa trofi,” kata Ferdinand.

"Mungkin Harry Kane ada memikirkannya. Dia sudah pun berusia 26 tahun dan anda peluang kecil yang datang dan pergi dengan cepat.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 12:34 PM