KWAN Yoke Meng
Ferzalfie Fauzi

KEKALAHAN kepada Hong Kong 2-3 dalam aksi akhir peringkat kumpulan Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Russia mahu dilupakan sepenuhnya skuad badminton remaja negara sebaliknya mereka mahu menumpukan perhatian kepada saingan individu.

Menurut ketua jurulatih skuad remaja, Kwan Yoke Meng, perasaan kecewa itu memang dirasainya terutama selepas gagal ke suku akhir namun Hong Kong dilihat mempunyai kelebihan tersendiri.

“Jika dibanding soal ranking kita memang mempunyai peluang terutama melalui beregu campuran (Yap Roy King-Gan Jing Err) namun pengiktirafan juga harus diberikan kepada pasukan Hong Kong,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujarnya, Hong Kong mempunyai kelebihan dari aspek bermain dengan baik ketika saat genting.

“Mereka lagi baik berbanding pemain kita pada situasi berkenaan. Bagaimanapun, tidak ada siapa yang sepatutnya dipersalahkan sebab kita dalam satu pasukan.

“Saya berharap dalam individu kita dapat bangkit semula dan bermain dengan lebih baik,” kata Yoke Meng.

Malaysia terlepas aksi suku akhir walaupun beraksi baik pada tiga perlawanan awal Kumpulan B apabila mengalahkan Russia 3-2 , Kanada 4-1 sebelum membelasah Macau 5-0.

Skuad remaja negara akan berdepan Sepanyol hari ini untuk aksi penentuan kesembilan hingga ke-16.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 12:25 AM