KLOPP lega pasukannya menang di laman sendiri. — FOTO Reuters
Reuters

LIVERPOOL hampir menerima padah dengan cara mengaibkan kerana membiarkan kelebihan tiga gol menentang RB Salzburg di Anfield awal pagi tadi namun pengurus Juergen Klopp menyatakan beliau tidak marah selepas pasukannya menang 4-3.

Juara Eropah itu bertindak cemerlang apabila mendahului 3-0 selepas 36 minit, namun selepas sejam mereka terikat 3-3 sebelum Mohamed Salah menyelamatkan maruah mereka.

“Lebih baik belajar sesuatu ketika perlawanan berbanding bercakap mengenainya selepas itu,” kata Klopp, yang memuji pengurus Salzburg dari Amerika Syarikat, Jesse Marsch kerana mengubah taktik mereka.

“Saya fikir kami menakjubkan bagi 30 minit pertama. Kami melakukan setiap perkara yang mereka tidak suka dengan kepantasan, menjaringkan tiga gol dan patut menambah lagi.


SADIO Mane (kanan) membuka tirai jaringan buat Liverpool. — FOTO Reuters

“Kemudian sistem Salzburg berubah dan kami hilang kawalan bola jadi ia mencetus masalah buat kami,” kata pengendali dari Jerman itu.

“Momentum berubah dan ia sukar untuk mengawalnya. Kami memutuskan untuk mengubah pendekatan. Sesetengah (pemain) dengan usaha mengawal bola, sesetengah cuba menyerang. Sesetengah pemain pula terlalu sibuk,” katanya.

Selepas tewas aksi pembukaan Liga Juara-Juara di tangan Napoli, Klopp gembira pasukannya menemui sentuhan untuk meraih tiga mata.

“Saya fikir selepas perlawanan saya akan marah tapi sebenarnya saya tidak marah. Saya hormati persembahan pasukan lawan. Kami boleh bertindak lebih baik. Kami akan bermain lebih bagus selepas ini,” ujar Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 10:40 AM