Syed Saddiq (dua kanan) pada Majlis Penyerahan Api Obor Temasya Sukan SEA ke-30 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Meor Riduwan Meor Ahmad


KONTINJEN negara diminta memberi tumpuan sepenuhnya untuk melakukan persediaan terbaik ke Sukan SEA, Filipina, bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, atlet negara digesa memanfaatkan masa singkat menjelang temasya dwi tahunan itu untuk membuat persediaan bagi acara tradisi dikuasai mereka, malah sukan baru diperkenalkan oleh tuan rumah.

"Penganjuran kali ini buat pertama kalinya 56 acara sukan dipertandingkan. Kebanyakan sukan buat pertama kali dipertandingkan dan ada yang bukan menjadi kekuatan Malaysia.

"Ini memang cabaran dan Insya-Allah kita akan berusaha untuk buat persediaan terbaik dalam masa singkat ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Api Obor Temasya Sukan SEA ke-30 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, Ketua Pegawai Operasi Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Ramon Suzara dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Sukan Filipina, Celia Kiram.

Syed Saddiq berkata, beliau juga difahamkan permasalahan dibangkitkan atlet dan persatuan sebelum ini sudah diatasi oleh MOM sekali gus tumpuan boleh diberi kepada latihan persediaan.

"Kita lihat apa Datuk Seri Norza dan pasukannya sudah lakukan. Sebelum ini ada atlet dan persatuan bangkitkan permasalahan tersendiri.

"Sekarang Alhamdulillah ada perkembangan amat baik (iaitu) semua sudah selesai. Sekarang mesti betul-betul fokus untuk persediaan Sukan SEA," katanya lagi.

Sementara itu, Suzara berkata, di sebalik bermacam laporan negatif pihaknya yakin persiapan untuk Sukan SEA berjalan seperti dirancang dan mengikut jadual ditetapkan.

"Filipina sudah bersedia untuk menganjurkan Sukan SEA 2019. Laporan yang disiarkan adalah masalah biasa. Saya beri jaminan persiapan mengikut jadual dan kami sudah bersedia," katanya.

Mengulas kebimbangan kontinjen Malaysia mengenai wabak demam campak yang melanda negara itu, beliau berkata ia bukan epidemik, tidak serius dan hanya membabitkan satu atau dua kawasan sahaja.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 8:41 PM