SKUAD JDT II berdepan UKM FC di pentas final Piala Cabaran.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Pertembungan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan UKM FC pada aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bharu, malam ini dianggap seperti buku bertemu ruas.

Pengurus operasi JDT II, Sukri Mosman berkata, beliau berharap momentum yang sedang dicipta pasukan utama, JDT mampu dijejaki JDT II yang masih menagih trofi sulung pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak pasukan itu ditubuhkan.

Masih terasa kekecewaan gagal meraih kejuaraan trofi Liga Perdana musim ini selepas dipintas Sabah, JDT II mahu menjadikan Piala Cabaran sebagai medan menebus kekecewaan.

“JDT sudah menjuarai Liga Super dan turut mara ke separuh akhir Piala Malaysia, jadi saya harap JDT II juga mampu jadikan ini sebagai satu pemangkin semangat. Kami kecundang tahun lalu pada saingan separuh akhir dan ini saatnya kami cuba penuhi sasaran dan matlamat pertama kami untuk mara ke final berjaya dicapai.

“Selepas tidak dapat meraih kejuaraan Liga Perdana, saya harap Piala Cabaran ini mampu menjadi penamat terbaik kepada pasukan dan semuanya terpulang kepada pemain. Namun, pentas akhir adalah 50-50 dan seimbang kepada kedua-dua pasukan cuma situasi pada hari perlawanan yang akan menentukannya,” katanya.

JDT II mara ke perlawanan akhir dengan rekod bersih selepas muncul juara Kumpulan A dan menyingkirkan juara bertahan, Terengganu FC II pada separuh akhir melalui agregat 4-2.

Sementara itu, UKM FC yang akan menjadi tuan rumah pada aksi timbal balik kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 12 Oktober ini dapat ditamatkan dengan muncul juara.

Pengurus UKM FC, Mohd Fairus Shafie nyata gembira apabila pasukannya layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut dan berharap 2019 akan jadi detik terbaik mereka merangkul gelaran.

“Saya tidak mahu beri bebanan kepada pemain dan apa yang saya harapkan pemain berikan 100 peratus serta apa yang mereka ada, moga ada hasilnya nanti selepas 180 minit. Mungkin JDT II pasukan pilihan dan saya lebih suka keadaan itu.

“Cuma satu perkara saja yang kami boleh janjikan, tiada laluan mudah buat lawan dan kami akan bermati-matian untuk memenangi Piala Cabaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:30 AM