MARTINELLI (dua kiri) menjaringkan gol kedua Gunners di Stadium Emirates. — FOTO Reuters
AFP

PENYERANG remaja Arsenal, Gabriel Martinelli menyumbang dua gol untuk mencetus kemenangan 4-0 ke atas Standard Liege pada aksi peringkat kumpulan Liga Europa di London, awal pagi tadi.

Martinelli, 18, menanduk masuk penuh bergaya untuk memberikan naib juara tahun lalu Arsenal gol pendahuluan pada minit ke-14 di Stadium Emirates sebelum menambah gol kedua tidak sampai dua minit kemudian.

Pemain Brazil itu hanya melakukan penampilan kedua dalam kesebelasan utama buat Gunners sejak menyertai kelab itu Julai lalu.

Dia turut meledak dua gol ketika melakukan penampilan sulung penuh menentang Nottingham Forest dalam kempen Piala Liga Inggeris.


WILLOCK (tengah) meledak gol ketiga menentang Standard Liege. — FOTO Reuters

Joe Willock menjaringkan gol ketiga Arsenal pada minit ke-22 dan Martinelli mencipta gol keempat buat Dani Ceballos selepas sejam bagi melengkapkan satu lagi kemenangan selesa di Eropah.

Anak buah Unai Emery kini mengumpul enam mata untuk mengungguli Kumpulan F. Mereka kini tiga mata di depan Standard dan Eintracht Frankfurt, yang mengalahkan Vitoria Guimaraes 1-0 di Portugal.

“Pasukan ini mempamerkan persembahan hebat. Ia satu kemenangan yang amat penting buat kami,” kata pertahanan Hector Bellerin kepada BT Sport, memuji dedikasi dipamerkan Martinelli.

“Dia tidak meninggi diri, dia bekerja kuat, dia melakukan apa yang jurulatih mahukan dan membuktikannya di padang. Setiap orang amat senang dengannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 7:47 AM