NUR Amisha (kiri) dan Rifdean pamer aksi cemerlang. - FOTO Bernard Radin
Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA jaguh muay thai negara, Mohamad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal menepati ramalan apabila melangkah ke perlawanan akhir kategori masing-masing di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki, hari ini.

Mohamad Rifdean,17, selaku ketua pasukan negara layak ke pusingan akhir bagi kategori lelaki 45 kilogram (kg) selepas lawannya dari Vietnam, Toan Trong Nguyen mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki.

Manakala Nur Amisha,17, yang bertanding bagi kategori wanita 51 kg membuat kejutan apabila menewaskan juara tahun lalu yang juga peninju tuan rumah Sevgi Dogan dengan kiraan mata 29 - 28.

Ketua jurulatih muay thai Perak, Bernard Radin ketika dihubungi gembira dengan persembahan ditampilkan kedua-dua anak didiknya itu terutama Nur Amisha yang berjaya menyerap tekanan penyokong tuan rumah.

“Mohamad Rifdean menang pada pusingan kedua selepas lawan yang menyepaknya mengalami kecederaan pada pergelangan kaki. Nur Amisha pula menang pusingan pertama namun tewas pusingan kedua kerana dia menggunakan corak bertahan manakala pusingan ketiga kami menukar corak permainan kepada menyerang.

“Alhamdulillah, saya akan fokus untuk perlawanan akhir esok dengan melihat beberapa aspek perlu diperbaiki dan kedua-dua peninju kita tidak cedera,” katanya ketika dihubungi. Kemenangan itu menyaksikan Mohamad Rifdean akan menentang pemenang antara Israel dan Palestin manakala Amisha akan menentang lawan dari Rusia esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 9:54 PM