ZANIOLO (dua kiri) dikenakan tindakan disiplin sebelum ini. — FOTO Agensi
AFP

BINTANG muda AS Roma, Nicolo Zaniolo kembali bersama pasukan Itali kendalian Roberto Mancini bagi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Greece dan Liechtenstein.

Zaniolo, 20, digugurkan Mancini ketika menang aksi Kumpulan J bulan lalu menentang Armenia dan Finland bermakna Azzurri boleh layak ke pusingan akhir musim panas depan jika menang ke atas Greece di Rome, Sabtu depan.

Dengan dua pasukan layak daripada kumpulan itu, mereka unggul enam mata di depan pasukan tangga kedua Finland dan sembilan di depan Armenia di tangga ketiga. Itali bertandang ke pasukan tercorot Liechtenstein, Selasa ini.

Zaniolo dan Moise Kean digugurkan daripada aksi terakhir peringkat kumpulan pada kejohanan B-21 di Itali selepas tiba lewat bagi sesi video dan Mancini memutuskan untuk melanjutkan hukuman itu bagi perlawanan bulan lalu.


DE Rossi (tengah) kali terakhir beraksi menentang Sweden dua tahun lalu. — FOTO Agensi

Kean tidak dipanggil dalam skuad selepas permulaan hambar kariernya di kelab Liga Perdana Inggeris, Everton.

Turut terlepas aksi pemain tengah Boca Juniors, Daniele De Rossi, yang tidak akan beraksi di gelanggang bekas pasukannya Stadio Olimpico menentang Greece selepas tidak dipanggil Mancini.

De Rossi bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas playoff menentang Sweden yang menyaksikan Itali gagal ke Piala Dunia 2018, namun media Itali mencadangkan dia akan kembali ke ibu negara Itali itu, yang mana dia bermain buat Roma selama hampir dua dekad.

Pertahanan Napoli, Giovanni Di Lorenzo menerima panggilan sulung skuad senior susulan berita pemain Roma, Davide Zappacosta mengalami kecederaan lutut teruk semalam.


DI Lorenzo (kanan) dipanggil kali pertama. — FOTO Agensi

SKUAD ITALI

Penjaga gol: Gianluigi Donnarumma (AC Milan), Pierluigi Gollini (Atalanta), Alex Meret (Napoli), Salvatore Sirigu (Torino)

Pertahanan: Francesco Acerbi (Lazio), Cristiano Biraghi (Inter), Leonardo Bonucci (Juventus), Danilo D’Ambrosio (Inter Milan), Giovanni Di Lorenzo (Napoli), Alessandro Florenzi (Roma), Armando Izzo (Torino), Gianluca Mancini (Roma), Alessio Romagnoli (AC Milan), Leonardo Spinazzola (Roma)

Tengah: Nicolo Barella (Inter Milan), Federico Bernardeschi (Juventus), Bryan Cristante (Roma), Jorginho (Chelsea/ENG), Stefano Sensi (Inter Milan), Marco Verratti (Paris Saint-Germain/FRA), Nicolo Zaniolo (Roma)

Serangan: Andrea Belotti (Torino), Federico Chiesa (Fiorentina), Stephan El Shaarawy (Shanghai Shenhua/CHN), Vincenzo Grifo (Freiburg/GER), Ciro Immobile (Lazio), Lorenzo Insigne (Napoli)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 10:06 AM