Guardiola (kiri) memberi kata semangat kepada Foden. FOTO Agensi
Guardiola (kiri) memberi kata semangat kepada Foden. FOTO Agensi
AFP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola percaya tekanan untuk menjulang trofi selaku juara Liga Perdana memberinya kesukaran menyenaraikan pemain muda dari akademi kelab itu.

Phil Foden menjaringkan gol walaupun hanya beraksi selama empat minit ketika City mencatat kemenangan 2-0 ke atas Dinamo Zagreb dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu lalu.

Pemain berusia 19 tahun yang juga bakat dari akademi bola sepak kelab itu sudah bersama skuad utama hampir dua tahun, namun dia hanya disenaraikan dalam kesebelasan utama sebanyak tiga kali dalam kempen Liga Perdana sepanjang kariernya.

Jadi, Guardiola mengakui tekanan untuk terus melakar kejayaan menghalang keinginannya membariskan beberapa pemain muda berbakat yang lahir daripada akademi skuad itu.

“Pasukan ini perlu menang gelaran dan hadiah disebabkan itu proses bagi pemain-pemain muda ini memakan masa dan cara terbaik adalah selangkah demi selangkah, untuk pemain yang kami ada,” kata Guardiola.

“Tuntutan daripada kelab, bukan memenangi Liga Juara-Juara tetapi sentiasa berada di sana, dalam semua kejohanan dan ia memerlukan semua pemain yang kami ada.

“Apa yang boleh saya katakan? Kami mempunyai bakat dan apabila mereka berbakat, mereka akan bermain, namun pada masa yang sama, kami perlu bersaing setiap hari untuk melawan pasukan-pasukan terbaik di England dan Eropah.

“Untuk itu, kami memerlukan David Silva dan Kevin De Bruyne, Sergio Aguero dan Fernandinho serta pemain-pemain seperti ini. Pemain-pemain muda boleh membantu tetapi jika asasnya adalah pemain muda, ia agak mustahil.”

Kekurangan aksi bersama skuad utama menyebabkan Foden sekali lagi diketepikan pengendali England, Gareth Southgate bersama skuad kebangsaan.

Timbul beberapa cadangan supaya Foden mengikuti jejak Jadon Sancho yang meninggalkan City untuk menyertai Borussia Dortmund pada 2017.

Trio Chelsea, Tammy Abraham, Mason Mount dan Fikayo Tomori disenaraikan dalam skuad terbaharu Southgate selepas kesemuanya dipinjamkan ke kelab Liga Kejuaraan musim lalu tetapi bagi Guardiola, kekal di Etihad adalah pilihan terbaik buat Foden ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 1:50 PM