Thundersbolts muncul juara kategori lelaki.
Mohd Rafi Mamat


PASUKAN TNB Thundersbolts mencatat kemenangan bergaya selepas menewaskan RAMD A 1-0 untuk muncul juara kategori lelaki terbuka Kejohanan Hoki Kuantan 7's Challenge di Stadium Hoki Indera Mahkota Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini hari ini.

Gol tunggal skuad yang dipimpin Nuradila Abdul Malik disumbangkan oleh pemain terbaik kejohanan Mahinder Singh menerusi pukulan sudut penalti pada babak kedua perlawanan.

Nuradila berkata, kesungguhan dan displin tinggi dipamerkan pemain sepanjang kejohanan menjadi pencetus kepada kejayaan pada kejohanan kali ini.

"Saya berpuas hati kejayaan yang diraih, janji pemain untuk menjulang kejayaan berjaya dibuktikan," katanya yang berharap lebih banyak kejayaan diraih selepas ini.

Selaku juara pasukan TNB Thundersbolts membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM2,500, naib johan RAMD menerima RM1,500 dan medal.


Pasukan Kahaw Ladies muncul juara kategori wanita kejohanan hoki Kuantan 7's Challenge di Stadium Hoki Indera Mahkota Majlis Perbandaran Kuantan.

Dalam kategori terbuka wanita johan milik pasukan Kahaw Ladies yang membawa pulang hadiah RM1,500, tempat kedua ATM Pronex menerima RM800 dan ketiga bersama Wipers dan KLSS mendapat RM300.

Kejohanan memasuki musim keenam itu disertai sebanyak 120 pasukan lelaki dan wanita membabitkan tujuh kategori termasuk pelajar sekolah rendah.

Kejohanan anjuran Persatuan Hoki Kuantan menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM19, 575.

Presiden Persatuan Hoki Kuantan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, sambutan pada kejohanan kali ini begitu menggalakan hingga pihaknya terpaksa menolak penyertaan disebabkan beberapa faktor.

"Kejohanan ini diadakan untuk mencungkil bakat di kalangan pemain muda bermula di peringkat sekolah rendah hingga ke pusat pengajian tinggi.

"Kerancakan serta kemeriahan kejohanan kali ini berlaku berikutan penyertaan yang begitu menggalakkan pasukan dari luar Pahang," katanya yang akan terus mengadakan program pembangunan sukan hoki.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal. Hadir sama Pengurus Bank Rakyat cawangan Temerloh, Mohamad Kawi Nong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 9:13 PM