PEMAIN Malaysia, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (dua, kiri), melakukan hantaran ketika perlawanan Bolasepak Persahabatan diantara Malaysia menentang Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Syazwan Msar


Di atas kertas, kelebihan mungkin lebih memihak kepada Vietnam yang kini menghuni tangga ke-99 Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) selain turut mempunyai rekod baik dalam pertembungan menentang Harimau Malaya.

Namun, barisan anak buah Tan Cheng Hoe yang semakin mantap dan mampu melakar beberapa kejutan termasuk hanya tewas tipis pada perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 seolah-olah memberi amaran bahawa Harimau Malaya bukan lagi pasukan ‘cap ayam’.

Perkara terbabit diakui bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang optimis skuad Harimau Malaya mampu memperoleh keputusan positif termasuk membenam Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Khamis ini.

Beliau berkata, Vietnam sudah tentu tidak akan memandang mudah Harimau Malaya selepas berjaya menumbangkan Indonesia di gelanggang keramat mereka, Gelora Bung Karno, sekali gus membayangkan Malaysia bukan lagi pasukan belasahan.

“Jika melihat kepada barisan pemain yang ada sekarang ini, sudah tentu Malaysia mampu melakukan kejutan dengan membenam Vietnam di gelanggang mereka nanti. Perlawanan menentang Jordan dan UAE antara penanda aras bahawa pasukan negara semakin meningkat malah cukup matang apabila beraksi di pentas antarabangsa.

“Walaupun beberapa tonggak dibelenggu kecederaan namun pemain gantian lain turut menunjukkan persembahan baik malah mampu melakukan kejutan atau menggalas cabaran yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga kumpulan G, berkongsi tiga mata dengan UAE.

Sementara itu, beliau juga berkata, pemain negara perlu mengurangkan kesilapan dan tampil lebih meyakinkan walaupun beraksi di depan penyokong lawan.

“Harimau Malaya sudah hampir sempurna cuma mereka perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental dalam menghadapi Vietnam yang akan menurunkan kesebelasan terkuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 6:00 AM