RIFDEAN (dua dari kiri) muncul juara remaja dunia di Turki.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Dua jaguh Muay Thai negara, Mohamad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azril Rizal memenangi pingat emas dalam kategori masing-masing, sekali gus dinobatkan sebagai juara remaja dunia di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki, semalam.

Mohamad Rifdean, 17, yang juga ketua pasukan negara berjaya menundukkan lawannya, Ruach Hashem Gordon dari Israel dengan kemenangan 29-28 bagi kategori lelaki 45 kilogram.

Manakala juara dunia 2016, Nur Amisha, 17, menang ke atas Liubov Plakhova dari Russia dengan keputusan 30-27 dalam kategori wanita 51kg.

Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin ketika dihubungi berkata, selaku jurulatih kepada kedua-dua atlet berkenaan, beliau gembira dan berpuas hati dengan prestasi mereka sepanjang kejohanan itu.

“Ini adalah saat paling menggembirakan dalam hidup saya sebagai jurulatih apabila dua petinju saya berjaya memenangi pingat emas dan sekali gus dinobatkan sebagai juara remaja dunia bagi kategori lelaki 45kg dan wanita 51kg.

“Pengorbanan serta usaha kedua-dua mereka membuahkan hasil dan saya berharap dapat melahirkan lebih ramai atlet muay thai bertaraf dunia selepas ini,” katanya yang turut menemani anak buahnya itu di Turki.

Mengulas prestasi kedua-duanya pada perlawanan akhir, Bernard berkata, Mohamad Rifdean dan Nur Amisha berjaya menunjukkan prestasi terbaik untuk mengasak lawan di setiap pusingan.

“Asakan dan serangan baik dipamerkan kedua-dua mereka untuk menewaskan lawan masing-masing dan Alhamdulillah kedua-dua mereka menang dengan kiraan mata,” katanya.

Menurut Bernard, kemenangan itu dihadiahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang akan disambut pada 1 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 6:20 AM