MELAKA United dikatakan gagal selesai tunggakan gaji pemain selama tiga bulan.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Adakah Melaka United bakal diturunkan ke Liga Perdana musim depan?

Persoalan itu mula timbul apabila skuad berkenaan dikatakan berdepan beban hutang mencecah RM8 juta membabitkan tunggakan gaji pemain dan beberapa perkara lain yang masih lagi belum selesai.

Dengan berbaki hanya 20 hari sebelum tarikh akhir permohonan lesen kelab kebangsaan dan AFC 2020, Melaka berisiko diturunkan ke Liga Perdana jika gagal menyelesaikan tunggakan hutang terbabit atau mencari jalan penyelesaian jitu.

Selain gaji pemain dan pegawai pasukan, Melaka didakwa turut gagal menyelesaikan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan beberapa perkara lain.

Menurut sumber, setakat ini pasukan itu tidak memiliki dana kewangan kukuh, sekali gus membuatkan mereka tidak mampu menyelesaikan hutang berkenaan.

Beliau berkata, pengurusan hanya boleh menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada pemain, namun hakikatnya mereka tidak mempunyai wang untuk membuat pembayaran.

“Baru-baru ini, pemain ada menyatakan rasa tidak puas hati apabila gaji mereka tertunggak hingga tiga bulan. Mereka dijanjikan bayaran dalam masa terdekat, namun ternyata ia palsu.

“Sebelum ini, ada yang mengatakan Melaka hanya berhutang sekitar RM3 juta saja, namun dalam mesyuarat baru-baru ini, kami dimaklumkan jumlah keseluruhannya mencecah RM8 juta.

“Jika diikutkan hanya ada tempoh tidak sampai sebulan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) perlu menyelesaikan semua hutang terbabit, namun jumlahnya agak banyak dan dana pula tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Melaka antara pasukan yang tersenarai gagal melengkapkan permohonan lesen kelab kebangsaan dan AFC 2020 seterusnya diberikan syarat atau ditangguhkan kelulusan hingga penghujung Oktober.

Sementara itu, kapten pasukan, Shukor Adan turut memuat naik satu gambar di laman sosial Instagram miliknya dengan keterangan mengenai bebanan pemain yang masih belum menerima bayaran gaji.

Sementara itu, Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Kami sudah mengadakan perbincangan baru-baru ini dengan pengurusan tertinggi MUSA dan akan menyelesaikan hutang berkenaan secepat mungkin termasuk melengkapkan dokumen permohonan lesen kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:00 AM