SIVASANGARI (kanan) memberi tentangan sengit kepada Sarah-Jane. — FOTO usopensquash.tumblr.com
Iskandar Shah Mohamed


HASRAT jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk mara ke suku akhir terbantut apabila tewas di tangan pemain ranking ketujuh dunia pada Terbuka Amerika Syarikat di Philadelphia, awal pagi tadi.

Pada aksi pusingan ketiga di Universiti Drexel, juara kebangsaan dari Kedah itu bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada Sarah-Jane Perry dari England.

Sivasangari memberi tentangan sengit hingga beraksi empat set sebelum tumpas kepada pemain pilihan keenam itu 12-10, 9-11, 6-11, 12-14 dalam pertarungan selama 48 minit.

“Selain gembira dengan peningkatan prestasi, saya puas hati dapat memberikan tentangan sengit kepada pemain ranking ketujuh dunia.


SIVASANGARI meraih pengalaman berguna menentang pemain ranking 10 teratas. — FOTO usopensquash.tumblr.com

“Ia pertembungan sulung kami dan kekalahan ini menjadi penyuntik semangat saya untuk terus bangkit mencipta kejayaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut pemain ranking ke-48 dunia itu, dia kini mahu kekal konsisten dan fokus menghadapi Kejohanan Wanita Dunia di Kaherah hujung bulan ini.

Semalam, Sivasangari melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan ke-10 Alison Waters dari England 11-5, 4-11, 11-7, 11-9 pada pusingan kedua.

Bekas pemain nombor satu negara Datuk Nicol David pernah menjuarai Terbuka AS tiga kali berturut-turut dari 2012 hingga 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 9:31 AM