GIAMPAOLO bakal dipecat Milan. - FOTO Agensi
AFP

AC Milan dijangka memecat jurulatih, Marco Giampaolo susulan prestasi mengecewakan pada awal musim, menurut laporan di Itali hari ini.

Bekas gergasi Eropah itu kini menduduki tangga ke-13 dalam Serie A --- tiga mata di atas zon penyingkiran.

Giampaolo, 52, menggantikan Gennaro Gattuso pada musim panas tetapi bekas pengendali Sampdoria itu tewas empat daripada tujuh perlawanan pertamanya termasuk tewas 0-2 kepada pencabar setempat, Inter.

Milan kemudiannya tewas dua lagi aksi selepas itu menentang Torino dan Fiorentina sebelum menang ke atas Genoa 2-1 di tempat lawan pada Ahad lalu.

Bekas jurulatih Inter Milan, Luciano Spalletti menjadi calon pertama menggantikan Giampaolo, menurut laporan Gazzetto Dello Sport dan Sky Sport Italia.

Bagaimanapun, pengendali berusia 60 tahun itu gagal mencapai beberapa persetujuan dengan Inter berkaitan beberapa terma pemecatan dengan kontraknya yang hanya berakhir pada 2021.

Bekas jurulatih Inter dan Fiorentina, Stefano Pioli kini dilaporkan calon pilihan mengendalikan bekas juara tujuh kali Eropah itu yang kali terakhir menjuarai Serie A pada 2011.

Bekas pengurus Roma dan Marseille, Rudi Garcia turut dilaporkan berada dalam radar Milan yang menduduki tangga kelima Serie A musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:12 PM