Skip this ad x
MD Dannell Riefqy juara kategori special bout Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia.


KETIKA rakan sebaya sibuk mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, murid Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman Satu (STAR 1) bijak membahagikan masa untuk pelajaran serta berlatih muay thai hingga bergelar juara dunia, dua hari lalu.

Md Dannell Riefqy Zahrin atau lebih mesra dipanggil Dannell, 12, muncul juara dan memenangi emas kategori ‘special bout’ Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki, selepas menewaskan atlet Sri Lanka, Isuru Hansana Abeyakoon secara knock-out.

Dannell berkata, puas dengan kemenangan itu lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan atlet luar negara yang mempunyai fizikal lebih besar.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua orang yang memberikan sokongan di Malaysia. Alhamdulillah, semua doa yang mengiringi saya membuahkan kejayaan ini.

“Saya akan berusaha lebih keras untuk kejohanan seterusnya (Kejohanan Dunia IFMA Muay Thai). Saya akan lebih berdisiplin, lebih penting jangan membuli dan jangan dibuli,” katanya ketika ditemui di Taman Dato Onn, Johor Bahru, malam tadi.

Kepulangan Dannell dari Turki disambut guru, rakan sekelas, penduduk dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Izhar Ahmad.

Sementara itu, ibunya, Najmatul Ridza Jamil berkata, Dannell mula mewakili pasukan Muay Thai Johor sejak berusia 9 tahun.

“Alhamdulillah, hasil kerja keras dan latihan intensifnya Dannell pernah menjuarai kejohanan Muay Thai Terbuka Pahang dan Johor pada 2017 serta Melaka setahun kemudian.

“Selain itu, Dannell pernah menjuarai Kejohanan Muay Thai Pre Sukan Sea Remaja Kebangsaan, tahun lalu serta menjuarai kejohanan antara kelab dan sekolah peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2017.

“Dia masuk ke peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut dan kami menerima tawaran daripada Persatuan Muay Thai Malaysia (PPM) untuk ke Kejohanan Muay Thai Dunia di Turki, jadi saya bantu menyediakannya dari segi latihan sukan termasuk ragbi dan pelajaran kerana dia berdepan UPSR sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dengan bantuan PPM Dannell diserapkan ke kategori ‘special bout’ dan dalam kejohanan ini berjaya melakukan dua ‘knock out’ sebelum bergelar juara iaitu menentang atlet Afrika Selatan dan Sri Lanka.

Dannell dijangka menyertai Kejohanan Muay Thai Kebangsaan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan kejohanan di Bangkok, Thailand, Januari ini selain Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia yang akan berlangsung di Genting Highlands, tahun depan.

Sementara itu, Mohd Izhar berkata, bangga kerana Larkin mampu melahirkan atlit bertaraf dunia dan akan memberikan sokongan serta bantuan jika diperlukan.

Selain Dannell, dua jaguh muay thai negara, Mohamad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal berjaya memenangi pingat emas bagi kategori masing-masing sekaligus dinobatkan sebagai juara remaja dunia di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki.

Mohamad Rifdean, 17, yang juga ketua pasukan negara berjaya menundukkan lawannya Ruach Hashem Gordon dari Israel dengan kemenangan 29-28 bagi kategori lelaki 45 kilogram.

Manakala Nur Amisha,17, yang juga Juara Dunia 2016 menang ke atas lawannya Liubov Plakhova dari Rusia dengan kiraan 30-27 bagi menjuarai kategori wanita 51kg.

Berita berkaitan:

  • Jaguh remaja dunia
  • Rifdean, Nur Amisha mara ke final
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 6:27 PM