KHOO Chong Xin pada sidang media team Malaysia ke Sukan SEA ke 30, Filipina di MSN, Bukit Jalil.
Iskandar Shah Mohamed


PEMAIN profesional e-sukan, Khoo Chong Xin sanggup mengetepikan kejohanan bertaraf dunia semata-mata mahu menggalas cabaran negara untuk meraih pingat di temasya Sukan SEA Filipina.

Atlet yang dikenali sebagai Ohaiyo itu berkata, dia sepatutnya menyertai pusingan kelayakan Kejohanan Dunia Dota 2 di luar negara pada Disember depan.

“Namun, saya mahu mencipta sesuatu yang dianggap lebih besar untuk negara terutama bekerjasama dengan rakan pemain baharu untuk membawa e-sukan ke peringkat lebih tinggi.

“Berbekalkan pengalaman dan pencapaian meraih tempat ketiga kejohanan dunia sebelum ini, saya yakin mampu menjelmakan pingat dalam sukan yang kali pertama dipertandingkan itu,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama, pengurus pasukan, Firdaus Hashim dan jurulatih, Ahmad Syazwan Anuar.

Chong Xin antara 23 atlet yang disenaraikan menyertai temasya itu bagi enam acara iaitu Dota 2, Starcraft II, Arena of Valor, Mobile Legends, Tekken 7 dan Hearthstone.

Kata atlet berusia 26 tahun itu, dia tidak menghadapi sebarang tekanan biarpun menyedari saingan sengit pemain Filipina, Indonesia dan Vietnam.

“Bagi saya, temasya dwitahunan itu sama dengan kejohanan lain dan hanya perlu kekal fokus dalam permainan untuk mencipta kejayaan,” katanya yang turut menjalani latihan bersama kem negara di The Orange Wangsa Maju dan Taman Segar, Cheras.

Dalam pada itu, Firdaus berkata, pihaknya optimis menyasarkan enam pingat tanpa mengira warna berdasarkan persiapan rapi dan prestasi terkini semua atlet.

“Sasaran sebelum ini untuk meraih dua emas namun kita terpaksa membuat penilaian semula berikutan faktor perubahan senarai atlet yang bertanding.

“Kita memang pada awalnya mahu membawa pemain negara bertaraf antarabangsa lain namun jadual mereka padat dengan kejohanan dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:24 PM