YAP Roy King dan Gan Jing Err. Foto YouTube BA Malaysia
Ferzalfe Fauzi


BEREGU campuran remaja negara, Yap Roy King-Gan Jing Err berjaya memberi persembahan cemerlang hari ini apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut untuk mara ke pusingan keempat Kejohanan Remaja Dunia.

Namun, Jing Err masih lagi belum berada pada tahap terbaik kerana mengalami masalah kesihatan dan Roy King pula terpaksa menggandakan usahanya untuk mereka menumbangkan pasangan, Amerika Syarikat dan Sweden.

“Jing Err tidak berada pada tahap terbaik kerana mengalami selsema. Dia sekarang ini masih dalam proses pemulihan dan berharap mampu mencapai prestasi terbaik di pusingan keempat,” kata ketua jurulatih remaja, Kwan Yoke Meng ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujarnya, kedua-dua perlawanan ini menyaksikan Roy King hadir sebagai penyelamat.

“Roy King banyak membantu kekurangan Jing Err. Saya harap ia tidak memberi kesan buatnya untuk beraksi dalam perlawanan beregu lelaki,” kata Yoke Meng.

“Setakat ini mereka beraksi baik dalam beregu campuran. Saya berharap esok mereka menang lagi untuk mara ke suku akhir.”

Roy King-Jing Eer mara ke pusingan keempat selepas menumpaskan Sri Kolla-Kristen Choi (Amerika Syarikat) 21-5, 21-12 dan Joel Hansson-Cecilia Wang (Sweden) 21-16, 21-17.

Turut mara ke pusingan keempat ialah Haikal Nazri-Low Yeen Yuan yang mengetepikan wakil New Zealand, Jack Wang-Ella Smith 21-11, 21-9.

Bagaimanapun, dua lagi pasangan terkandas, apabila Ching Kai Feng-Teoh Le Xuan kalah kepada Lui Chun Wai-Leung Sze Lok (Hong Kong) 17-21, 15-21, manakala Arif Junaidi-Valeree Siow tunduk di tangan Rory Easton-Hope Warner (England) 20-22, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 10:23 PM