HAVERTZ (kanan) menjaringkan gol kedua Jerman di Dortmund, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

SKUAD eksperimen Jerman dibolosi dua gol pada babak kedua ketika Argentina, yang tampil tanpa pemain bintang Lionel Messi, seri 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Dortmund, awal pagi tadi.

Jerman mendahului 2-0 susulan gol babak pertama oleh Serge Gnabry (minit ke-15) dan Kai Havertz (m-22), namun Lucas Alario mengubah haluan perlawanan pada separuh masa kedua apabila dia masuk sebagai pemain gantian buat Argentina.

Penyerang Leverkusen itu membalas satu gol pada minit ke-66, kemudian melorongkan bola kepada Lucas Ocampos (m-85) bagi gol penyamaan menentang Jerman yang menurunkan empat muka baharu.

Dua pemain Freiburg, pertahanan Robin Koch, yang dipanggil Isnin lalu dan diberi kepercayaan untuk berada dalam senarai tiga pemain pertahanan pada saat akhir, serta penyerang Luca Waldschmidt turun dalam kesebelasan utama.


OCAMPOS (tengah) meraikan gol kedua Argentina bersama rakan sepasukan. — FOTO EPA

Penyerang Leverkusen, Nadiem Amiri dan pemain tengah Schalke, Suat Serdar masuk pada babak kedua untuk melakukan penampilan sulung mereka.

Jerman terpaksa membuat perubahan drastik di benteng pertahanan ketika Koch menggantikan pertahanan tengah Niklas Stark, yang diketepikan sebelum sepak mula kerana sakit perut.

Di sebalik 13 penarikan diri kerana kecederaan atau sakit, Jerman lebih menyerlah pada babak awal menentang Argentina yang kehilangan khidmat Messi, Sergio Aguero dan Angel di Maria.

Dengan Messi digantung perlawanan kerana komennya pada Copa America, pemain Juventus, Paulo Dybala bergandingan dengan Lautaro Martinez di bahagian serangan buat Argentina.

Perlawanan itu ulangan final Piala Dunia 2014, namun hanya pertahanan Manchester United, Marcos Rojo satu-satunya pemain yang beraksi daripada skuad itu apabila Jerman menang di Rio de Janeiro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:00 AM