CHENG Hoe (kanan) memantau sesi latihan semalam. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
Daripada Syazwan Msar di Hanoi


TIDAK sampai lapan jam sebelum sepak mula aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 antara Harimau Malaya dengan Vietnam di Hanoi yang boleh menentukan peluang anak buah Tan Cheng Hoe sama ada boleh pergi lebih jauh atau sebaliknya.

Malaysia yang berada di tangga ketiga Kumpulan G di belakang Thailand dan UAE mengharapkan keputusan positif pada aksi di Stadium Nasional My Dinh itu.

Namun, Vietnam tetap mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri malam ini selepas seri 0-0 dengan Thailand pada aksi pertama menyaksikan mereka menghuni tangga keempat dengan sekadar satu mata.

Walaupun Vietnam dijangka menampilkan barisan terkuat mereka Cheng Hoe percaya pemainnya mampu menundukkan lawan.


VIETNAM menjalani latihan menjelang perlawanan malam ini. — FOTO Mohd Yusni Ariffin

Beliau menilai banyak perubahan positif dalam pasukan negara dan optimis ia menjadi detik terbaik meraih kemenangan di stadium keramat skuad Naga Emas itu.

“Saya sedar kemampuan Vietnam yang sememangnya bukan calang-calang pasukan. Tapi sebagai seorang jurulatih, saya percaya dalam sukan bola sepak, mana-mana pasukan mampu untuk ditundukkan dan kami mahu meraih kemenangan.

“Kami juga melakukan persediaan rapi selain saya juga percaya pasukan negara sudah bertambah baik berbanding ketika pertemuan dalam saingan Piala AFF tahun lalu,” katanya.

Malaysia gagal memenangi Piala AFF selepas tewas 0-1 pada final kedua di Stadium My Dinh. Kedua-dua pasukan seri 2-2 di Bukit Jalil pada aksi pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 12:56 PM