PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton melintasi garisan penamat di Suzuka tahun lalu. — FOTO AFP
AFP

PENGANJUR Grand Prix Formula Satu Jepun berjanji keselamatan penyokong dan pemandu menjadi keutamaan ketika mereka memantau taufan besar yang dijangka mengancam hujung minggu ini.

Taufan Hagibis yang diklasifikasikan sebagai “ganas” dijangka melanda berhampiran Tokyo, Sabtu ini.

Ramalan cuaca terbaharu bagi Sabtu ini menjangkakan hujan lebat serta angin kencang melanda Litar Suzuka, yang terletak dekat pantai Honshu kira-kira 300km ke barat Tokyo.

Namun cuaca baik diramalkan bagi Ahad, bermakna sesi kelayakan mungkin ditunda daripada Sabtu ke pagi perlumbaan, sesuatu yang pernah berlaku di Jepun dua kali pada 2004 dan 2010.

Satu kenyataan F1 hari ini mengesahkan mengenai keputusan jadual perlumbaan hujung minggu ini mungkin dibuat berdasarkan keselamatan semua di litar.

“FIA, Formula 1, Litar Suzuka dan Persekutuan Automobil Jepun memantau dengan rapi Taufan Hagibis dan potensi impaknya terhadap GP Formula Satu Jepun,” menurut kenyataan itu.

“Setiap usaha dilakukan untuk meminimumkan perubahan jadual Formula 1, bagaimanapun keselamatan penyokong, pelumba dan setiap orang di Litar Suzuka tetap menjadi keutamaan.

“Semua pihak akan terus memantau situasi dan memberikan kemas kini dari masa ke semasa.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 2:11 PM