Eddie Jones buat persiapan prospek berdepan Australia. FOTO REUTERS
AFP

JURULATIH England, Eddie Jones berkata Taufan Super Hagibis memberikan peluang terbaik kepada pasukannya selepas perlawanan terakhir kumpulan dibatalkan atas sebab keselamatan.

Penganjur kejohanan itu membuat keputusan untuk membatalkan perlawanan antara England dan Perancis serta pertembungan New Zealand dan Itali kerana taufan melanda Jepun.

Ia bermakna England menamatkan saingan Kumpulan C dengan kelebihan dua mata di depan Perancis disebabkan pembatalan perlawanan itu.

England yang masih belum tewas dalam saingan itu boleh membuat persiapan untuk beraksi pada suku akhir di Oita pada 19 Oktober dan berkemungkinan bertembung dengan negara kelahiran Jones iaitu Australia.

Jones memberitahu: “Kami tidak bimbang sama sekali, kami teruja dan benar-benar teruja. Peluang terbaik.

“Siapa sangka kami berdepan dua perlawanan mudah menentang Tonga serta Amerika Syarikat kemudian berdepan pasukan liat, Argentina dan ada masa dua minggu untuk persiapan ke suku akhir?

“Jadi seseorang tersenyum kepada kami, mungkin tuhan taufan?”

Jones menjangkakan pemain cedera iaitu Billy Vunipola, Joe Marler dan Jack Nowell akan kembali beraksi pada perlawanan minggu depan.

England kini menuju ke Miyazaki yang pernah dijadikan kem pra kejohanan untuk latihan selama tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 4:42 PM