Foden (dua dari kanan) pilihan masa depan Guardiola. FOTO PA
Agensi

PEP Guardiola mendakwa Phil Foden adalah satu-satunya pemain Manchester City yang tidak akan dijualnya biarpun ditawarkan 500 juta euro (RM2.3 bilion).

Bintang B-23 England itu komited terhadap kelabnya itu sejak zaman kanak-kanak sekalipun bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama.

Bos City itu yakin pemain berusia 19 tahun itu adalah masa depan City dan akan menjadi ‘ahli silap mata’ apabila David Silva meninggalkan kelab itu pada musim panas.

Guardiola berkata: “Kami tidak menawarkan kontrak kepada Foden secara kebetulan.

“Dia satu-satunya pemain tidak boleh dijual dalam apa saja keadaan, dia saja. tidak walaupun ditawarkan 500 juta euro (RM2.3 bilion).

"Phil tidak akan ke mana-mana — Phil adalah City. Kita tidak akan menandatangani seseorang untuk posisi itu.

“Apabila David Silva meninggalkan kelab itu, kita sudah tahu siapa akan menjadi ahli silap mata baru kami.”

Dalam buku barunya, ‘Pep’s City: The Making of a Superteam’ mendedahkan Guardiola adalah peminat Foden sejak tiba pada 2016.

Penyerang remaja itu menyaksikan rakan sepasukan remaja, Jadon Sancho berhijrah ke Borussia Dortmund manakala Brahim Diaz ke Real Madrid.

Guardiola memilih Foden berbanding dua pemain terbabit dan dia memang ditakdirkan untuk mencapai kegemilangan.

Dia berkata: “Dia membesar bersama kami. Dia salah seorang daripada kami dan dia akan cemerlang dalam kalangan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:32 PM