Penonton wanita Iran kini boleh datang ke stadium. FOTO fail AP
Reuters

WANITA Iran memasuki stadium Azadi di Tehran, hari ini untuk kali pertama dalam tempoh 40 tahun selepas mendapat kebenaran membeli tiket menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan negara itu.

Wanita negara terbabit diharamkan menonton sukan membabitkan lelaki sejurus selepas Revolusi Islam 1979 kecuali kumpulan kecil tertentu untuk acara tertentu.

Selepas menerima tekanan daripada badan induk bola sepak dunia, FIFA pihak berkuasa Iran memperuntukkan 3,000 tiket untuk mereka menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia Asia menentang Kampuchea di hadapan seramai 78,000 penonton di stadium terbabit.

Tiket terbabit yang dikhususkan untuk wanita sahaja di stadium itu yang mendapat kritikan daripada kumpulan tertentu yang lebih suka wanita dapat menonton perlawanan itu dengan ahli keluarga lelaki mereka.

Rakaman di media sosial menunjukkan golongan wanita tiba di stadium dua jam lebih awal sebelum sepak mula perlawanan itu.

Malah, mereka turut mengibar bendera dan meniup hon ‘vuvuzela’ dengan kebanyakan tempat duduk di arena itu masih kelihatan belum dipenuhi oleh penonton.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada suasana seperti itu akan menjadi perkara biasa di Iran selepas ini.

Laporan separa rasmi kerajaan menerusi agensi berita negara itu memberi amaran wanita berada dalam keadaan itu terdedah kepada kata-kata kesat, penggunaan bahan terlarang dan keganasan.

“Sekarang kerajaan sudah membuat keputusan membenarkan wanita masuk ke Stadium Azadi. Kami berharap penonton akan cuba menghormati wanita Iran dalam usaha mengubah suasana orang awam di dalam stadium,” menurut laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 9:15 PM