LUQMAN bakal sertai KV Kortrijk di Belgium.
Firdaus Hashim


PENYERANG muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin terus mengharumkan nama negara apabila dia tersenarai dalam 60 pemain muda paling berbakat di dunia seperti dikeluarkan The Guardian.

Luqman, 17, yang akan menyertai kelab utama Belgium, KV Kortrijk dengan tawaran kontrak selama lima tahun muncul anak tempatan pertama berada dalam senarai itu membabitkan ratusan pemain muda dari seluruh dunia.

Malah, daripada senarai itu juga, dia muncul antara empat pemain dari benua Asia selain Jun Nishikawa dari Jepun, Suphanat Mueanta dari Thailand dan Jasurbek Jaloliddinov dari Uzbekistan.

Selain itu, Luqman yang juga pemenang kasut emas Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) U16 2018 turut sebaris dengan pemain FC Barcelona yang kian mencipta nama dalam saingan La Liga iaitu Ansu Fati.

Selebihnya, senarai berkenaan di dominasi pemain-pemain dari benua Eropah dan Amerika Selatan sekali gus membuka mata banyak pihak mengenai keupayaan anak tempatan.

Dia ketika ini berada di Jepun untuk menjalani latihan bersama kelab FC Tokyo sebelum pulang menyertai persiapan skuad kebangsaan bawah 18 tahun untuk menyertai pusingan kelayakan AFC B19 2020 yang akan berlangsung awal November nanti.

Untuk rekod, sebelum Luqman ke Belgium, dia bakal menjalani latihan bersama Cardiff City selama 3 bulan mulai Januari tahun depan sebelum menandatangani kontrak dengan KV Kortrijk.

Apa yang pasti, perkembangan ini membuktikan bahawa Luqman kini sudah berada pada kelas tersendiri dan memiliki kualiti setanding pemain di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 9:51 PM