Jamie Maclaren (kanan) diasak pemain Nepal pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 zon Asia. FOTO Reuters
AFP

PENYERANG veteran, Yang Xu menjaringkan empat gol dalam tempoh 25 minit untuk membantu China membelasah Guam 7-0 manakala Australia mudah menewaskan pasukan bergelut, Nepal pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 zon Asia.

China mendahului 6-0 pada separuh masa pertama namun bergelut menambah gol pada babak kedua yang menyaksikan penyerang kelahiran Brazil, Elkeson, muncul pemain naturalisasi pertama digunakan dalam skuad kebangsaan China.

Sementara itu, Jamie Maclaren menjaringkan gol hatrik ketika Australia menewaskan Nepal, 5-0 di Canberra.

Skuad The Socceroos terlepas beberapa peluang menambah jaringan ketika menentang pasukan di ranking ke-161 dunia itu namun berjaya menguasai permainan dan bertahan tanpa bolos.

"Kami mencipta banyak peluang, tak terkira,” kata jurulatih Australia, Graham Arnold selepas mencatat kejayaan terbesar di laman sendiri dalam tempoh tiga tahun.


Pemain naturalisasi China Elkeson (tengah) dan rakan sepasukan meraikan kemenangan ke atas Guam. FOTO AFP

Dalam pada itu di Tehran, Karim Ansarifard turut menyumbat empat gol manakala Sardar Azmoun meledak tiga gol untuk membenam Kemboja 14-0.

Mehdi Taremi dan Mohammad Mohebi masing-masing menyumbat dua gol manakala Morteza Pouraliganji, Mohammad Kanani dan Ahmad Nourollahi menambah satu gol setiap seorang.

Perlawanan itu juga buat pertama kali disaksikan antara 4,000 hingga 4,500 penyokong wanita yang dibenarkan memasuki stadium dalam tempoh sedekad selepas campur tangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang meminta kerajaan Republik Islam itu menarik semula pengharaman itu.

Penyokong wanita Iran mengibarkan bendera negara dan mengenakan pelbagai selendang dengan wajah dihiasi warna bendera kebangsaan dan duduk di satu sudut khas di Stadium Azadi.

FIFA dalam kenyataan ringkasnya menyebut perkembangan di Iran sebagai ‘satu langkah ke depan yang positif.’

Sementara di Dhaka pula, Yusuf Abdurisag dan Karim Boudiaf masing-masing menyumbat satu gol ketika membantu Qatar yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 mengatasi Bangladesh 2-0, manakala Oman mudah membenam Afghanistan 3-0 di Seeb dengan Abdul Aziaz al-Muqabli meledak dua gol.

Penyerang Korea Selatan, Kim Shin-wook meledak empat gol ketika membantu negaranya membenam Sri Lanka 8-0 manakala Jepun membenam Mongolia 6-0.

Arab Saudi pula mengatasi Singapura 3-0 manakala UAE membelasah Indonesia 5-0, Uzbekistan pula menang 5-0 ke atas Yemen dan Iraq mengatasi Hong Kong 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 10:01 AM