Neymar (tengah) cuba dihalang pemain Senegal pada aksi persahabatan di Singapura semalam. FOTO AFP
AFP

NEYMAR menjadi antara pemain termuda melakukan 100 penampilan buat Brazil namun penyerang Paris Saint-Germain itu gagal meledak jaringan ketika pasukannya seri 1-1 pada perlawanan persahabatan menentang Senegal di Singapura, semalam.

Roberto Firmino menjaringkan gol pembukaan buat juara Copa America menerusi lambungan cantik menerima umpanan Philippe Coutinho pada minit ke lapan.

Lawan mereka Senegal pula menyamakan kedudukan sebelum waktu rehat menerusi penalti yang disempurnakan Famara Diedhiou selepas Sadio Mane dijatuhkan di kawasan itu.

“Pasukan menunjukkan prestasi kurang daripada apa yang mereka boleh lakukan, kami tidak bermain dan memberi tentangan pada tahap yang kami mampu. Ia bukan perlawanan bagus dari kami. Kami bermain di bawah keupayaan sebenar,” kata jurulatih Brazil, Tite kepada wartawan.


Bintang Brazil, Neymar membuat penampilan ke 100 bersama Brazil. FOTO AFP

Neymar, yang tidak beraksi ketika pasukan itu memenangi Copa America pada Jun, mempamerkan aksi baik dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-67 menerusi sepakan percuma.

Walaupun tidak mencetak nama dalam senarai penjaring, ia adalah hari bersejarah buat pemain berusia 27 tahun itu yang menjadi seorang daripada tujuh pemain Brazil yang mengecapi 100 kap bersama pasukan kebangsaan.

Dia telah menjaringkan 61 gol buat Selecao, menjadikannya penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah pasukan kebangsaan. Neymar ketinggalan satu gol di belakang Ronaldo namun memerlukan 16 untuk mengatasi rekod Pele yang hanya beraksi 92 perlawanan. Dia juga membantu menghasilkan jaringan sebanyak 41 kali.

Neymar memenangi pingat emas Olimpik di Rio de Janeiro pada 2016 namun mempunyai pengalaman buruk bersama pasukan kebangsaannya terutama di Piala Dunia yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 12:07 PM