Skip this ad x
Faiz mahu capai kejayaan lebih tinggi. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


ATLET bina badan, Ahmad Faiz Ariffin mahu melengkapkan tahun cemerlangnya dengan meraih Mr Universe buat kali pertama bulan depan.

Atlet berusia 26 tahun itu menamatkan kemarau pingat sejak menyertai Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2011 apabila meraih emas dalam kategori athletic physique sehingga 175 cm pada edisi 2019, minggu lalu.

Pencapaian itu menjadi motivasi buat dirinya memasang impian meraih pencapaian lebih tinggi di Kejohanan Bina Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Pulau Jeju, Korea Selatan, awal bulan depan.

"Saya mahu meraih gelaran Mr Universe kali ini.

Sudah empat atau lima kali saya bersaing di peringkat dunia, saya rasa sudah tahu apa perlu diberikan perhatian dan fokus untuk pulang dengan kejayaan," katanya.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur berkenaan berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya tempoh berbaki tiga minggu lagi.

"Saya sedar saingan akan lebih sukar berbanding Mr Asia dengan peserta berpengalaman dari seluruh dunia akan berada dalam saingan itu.

Saya berharap semuanya akan berjalan lancar dengan saya mampu memberikan yang terbaik," katanya.

Pada aksi di Mr Asia yang berlangsung di Batam, Indonesia, Malaysia membawa pulang dua gelaran Mr Asia menerusi Ahmad Faiz serta Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang meraihnya buat kali kelima berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 7:04 PM