AZIZULHASNI
Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang tidak mahu pulang dengan tangan kosong pada Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan walaupun mengalami kecederaan jari telunjuk kanan baru-baru ini.

Malah pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu meletakkan sasaran untuk membawa pulang emas acara keirin selain pingat bagi pecut individu walaupun masih dalam proses pemulihan.

“Bagi kejohanan kali ini, saya terpaksa tarik diri daripada acara pecut berpasukan susulan kecederaan itu.

“Namun saya menetapkan sasaran untuk menjuarai acara keirin dan podium bagi pecut individu,” katanya yang berlepas ke Korea Selatan, semalam.

Azizul pernah memenangi acara keirin pada 2007, 2008 dan 2015 namun terpaksa akur di kedudukan kelima pada edisi 2019 di Jakarta awal tahun ini.

Manakala bagi pecut individu, dia turun selaku juara bertahan selepas memenanginya di Jakarta menewaskan jaguh China, Xu Chao di final.

Kejohanan peringkat benua itu dilihat medan terbaik untuknya menguji kemampuan selepas memberi fokus kepada membina jisim otot sejak berakhirnya Kejohanan Trek Dunia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:30 AM