DESCHAMPS menaruh keyakinan kepada Mbappe ketika penyerang PSG berdepan detik sukar dalam kariernya. - FOTO Agensi
Agensi

KYLIAN Mbappe berkata, kepercayaan diberikan Didier Deschamps ke atasnya jauh lebih bernilai daripada semua duit di dunia ketika ditanya wartawan mengenai hubungannya dengan jurulatih Perancis itu.

Les Bleus menewaskan Iceland 1-0 tanpa Mbappe semalam selepas penyerang Paris Saint-Germain itu tersisih aksi kelayakan Euro 2020 akibat kecederaan hamstring dan tidak akan beraksi menentang Turki di Paris, awal pagi Selasa ini.

Mbappe tidak beraksi untuk Perancis sejak menjaringkan gol ketika menewaskan Andorra 4-0 pada Jun lalu tetapi dia tetap komited kepada Deschamps yang mengambilnya ketika berdepan detik sukar dalam karier.

Deschamps menyenaraikan Mbappe dalam skuad Perancis ketika dia disisihkan di Monaco susulan perpindahan pinjaman ke PSG ‘tergantung’, dan penyerang itu sama sekali tidak melupakan jasa pengendali itu.

Mbappe berkata kepada TF1: "Saya fikir khususnya pemilihan saya ketika tidak beraksi -- sebagai pemain, anda tidak tahu betapa ia amat bermakna.

"Ia satu isyarat...amat kuat. Keyakinan ditunjukkan lebih bernilai daripada seluruh duit di dunia ini.

"Saya tahu jurulatih percaya dan yakin pada saya dan saya seperti sedia mati untuknya di atas padang. Jika dia mahu saya beraksi mengawal gawang, saya akan melaksanakannya tanpa ragu-ragu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 11:58 AM