PEMAIN Wales, Gareth Davies (tengah) menyempurnakan try keempat di Stadium Kumamoto. — FOTO Reuters
AFP

WALES menempah pertembungan suku akhir Piala Dunia Ragbi dengan pencabar kejohanan Enam Negara, Perancis ketika mereka mengungguli Kumpulan D dengan kemenangan 35-13 ke atas pasukan kerdil Uruguay, hari ini.

Pasukan kedua Wales melakukan banyak kesilapan dan hantaran ke depan namun tetap menang akhirnya terima kasih kepada dua try lewat.

Sehari selepas Taufan Hagibis mencetus kacau bilau di seluruh Jepun, keadaan sempurna bagi perlawanan ragbi di Stadium Kumamoto di selatan pulau Kyushu.

Namun pada perlawanan yang sepatutnya mudah dikuasai juara Enam Negara itu, Wales – yang bermain hebat menentang Fiji empat hari lalu – bergelut untuk mempamerkan dominasi mereka.

PEMAIN Wales, Tomos Williams menjaringkan try ketiga menentang Uruguay. — FOTO Reuters

Jurulatih Warren Gatland menyatakan Wales “ada ketikanya terlalu teruk” namun beliau tetap gembira mengharungi perlawanan itu tanpa sebarang kecederaan dan menjangkakan untuk menurunkan pemain utama menentang Perancis.

“Harapnya setiap orang cergas dan boleh dipilih bagi aksi minggu depan. Tiada apa yang kelihatan serius malam ini,” katanya.

“Kami mempunyai beberapa pemain yang kurang sihat selepas perlawanan dengan Fiji – dua atau tiga daripada mereka – tapi mereka patut kembali berlatih dalam beberapa hari jadi kami boleh mempunyai skuad penuh untuk dipilih.”

Apabila wisel penamat ditiup, Wales menikmati 66 peratus daripada pegangan bola dan 73 peratus penguasaan wilayah, namun tiga try dalam 15 minit terakhir membantu kemenangan yang boleh dibanggakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 8:45 PM