NEYMAR (kanan) hanya sempat beraksi selama 12 minit di Stadium Nasional, Singapura, malam ini. — FOTO Reuters
Reuters

NEYMAR dikeluarkan selepas hanya 12 minit kerana cedera ketika Brazil seri 1-1 dengan Nigeria pada aksi persahabatan antarabangsa di Singapura, malam ini.

Penyerang Paris Saint-Germain itu, yang melakukan penampilan ke-101 bersama pasukan kebangsaan, memicit paha kirinya ketika dia meninggalkan padang dan digantikan oleh Philippe Coutinho.

Keputusan seri itu meneruskan catatan tidak menang Brazil kepada empat perlawanan.

Negara Afrika itu mendahului selepas 35 minit apabila Joe Aribo menemui ruang dalam keadaan kelam-kabut di kotak penalti untuk merembat leret dan meraih gol keduanya dalam dua aksi antarabangsa.


CASEMIRO (kanan) menyelamatkan maruah Brazil dengan gol penyamaan. — FOTO AFP

Brazil menyamakan kedudukan dua minit selepas rehat apabila Casemiro merembat masuk dari jarak dekat selepas dia pantas menyambut bola susulan tandukan Marquinhos yang terkena tiang.

Casemiro kemudian menyaksikan tandukannya singgah di palang dan Coutinho patut menyumbat gol kemenangan lima minit sebelum tamat namun gagal menyudahkan peluang.

Sejak menjuarai Copa America Julai lalu, Brazil turut seri dengan Colombia dan Senegal serta kalah di tangan Peru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 10:57 PM