JURULATIH negara menghadiri Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 di Osaka dan Saitama.
Meor Riduwan Meor Ahmad


PENGALAMAN berharga diraih 20 jurulatih bola sepak Malaysia menerusi Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019-2020 di Osaka dan Saitama, Jepun bermula 2 Oktober lalu hingga semalam.

Selain dibawa melawat kelab divisyen 1 Liga Jepun (J1), Cerezo Osaka dan Omya Ardija (J2), mereka turut didedahkan antaranya berkaitan penyediaan latihan, akademi, falsafah latihan pasukan utama dan bagaimana kelab berkenaan beroperasi.

Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin berkata, kursus model 4 di Jepun adalah perkara wajib dalam syarat lesen Pro A.

Katanya, dalam kursus itu mereka dipecahkan kepada dua kumpulan bagi menganalisis perlawanan dan juga berkongsi maklumat dengan individu penting dalam kedua-dua kelab itu.

“Banyak perkara kami pelajari dan saya tertarik dengan padang latihan mereka yang amat cantik terjaga. Bermain di atas padang sebegini saya yakin akan meningkatkan mutu permainan jika ia sama di Malaysia.

“Dari segi mutu latihan dan perlawanan mereka di sini tak ramai pemain individu. Mereka bermain sebagai satu pasukan dan kekuatan fizikal mereka juga memberangsangkan,” katanya dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, budaya masyarakat Jepun menikmati sukan bola sepak dan menjadikannya sebagai riadah bersama keluarga termasuk warga emas.

“Keadaan di stadium juga berbeza apabila peminat bola sepak datang menyokong pasukan kegemaran mereka bersama ahli kelurga termasuk datuk dan nenek.

“Saya berpendapat lawatan sambil belajar ini banyak membantu kami selaku jurulatih dalam menambah ilmu dan membawanya pulang ke kelab masing-masing. Insya-Allah pasti akan ada perubahan jika maklumat dan idea ini dapat digunakan kelak,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam memaklumkan menerusi fasa pertama kursus itu jurulatih terbabit melawat dan mengikuti latihan pasukan utama dan akademi Cerezo Osaka di Maishima Ground.

Antara aktiviti dijalankan ialah sesi pengenalan struktur kelab oleh Pengarah Teknikal, Kiyoshi Okuma, sesi perkongsian maklumat pasukan utama bersama ketua jurulatih, Miguel Angel Lotina dan temu ramah bersama Pengarah Akademi, Yuji Okuma.

“Barisan jurulatih turut membuat analisis perlawanan Liga J1 antara pasukan Cerezo Osaka menentang Kashima Antlers di Stadium Yanmar di Nagai dan Liga Sunrise Bawah-15 membabitkan pasukan Cerezo Osaka menentang Solestrella Nara 2002 di J-Green, Sakai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 4:45 AM