NAFUZI (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan TFC.
Malik Muhamad

SIAPAKAH bakal mengisi 'kerusi panas' ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan?

Adakah pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain akan terus diberi kepercayaan membimbing pasukan atau jurulatih lain bakal diberi peluang memikul tugas sebagai pengendali skuad Penyu itu musim depan.

Inilah polemik dan cakap-cakap kedai kopi dalam kalangan peminat setia skuad itu selepas tular dalam laman sosial beberapa hari lalu mengaitkan pemangku ketua jurulatih TFC itu bakal diberi kepercayaan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menerajui pasukan itu musim depan.

Bagaimanapun, persoalan itu bakal terjawab esok selepas badan induk bola sepak negeri itu selesai mengadakan Kongres Biasa PBSNT di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Sebelum ini tular dalam laman sosial menyatakan Nafuzi yang mengambil alih tugas selaku pemangku ketua jurulatih TFC musim ini selepas peletakan jawatan secara mengejut bekas pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim pada 15 Mei lalu akan dinaikkan 'pangkat' sebagai ketua jurulatih.

Manakala jawatan penolong jurulatih dikatakan bakal diisi bekas pemain negeri yang juga pengendali skuad Piala Belia Terengganu, Subri Sulong yang membantu skuad itu menjulang trofi piala itu musim ini.

Bagi jawatan ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II) juga tular apabila penolong jurulatih TFC II musim ini, Roshadi Wahab juga dikatakan akan dinaikkan 'pangkat' sebagai ketua jurulatih bergandingan dengan bekas penyerang Terengganu, Sapian Wahid dan Md Noor Derus.

Selain Nafuzi, antara nama lain yang sebelum ini disebut bakal menggalas tugas ketua jurulatih TFC termasuk bekas pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, Tomislav Steinbruckner, Azlan Johar dan Ismail Zakaria.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim ketika diajukan persoalan itu enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya menyerahkan kepada Presiden PBSNT, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengumumkan perkara itu esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:04 PM