Mirabel Ting Ern Jun peserta pilihan. FOTO Agensi
BERNAMA

PEMAIN golf perempuan kebangsaan, Mirabel Ting Ern Jun dan Lin Jia Hao dari China, bertekad mempertahan gelaran masing-masing pada Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa AmBank-SportExcel kali ke-14 di Glenmarie Golf & Country Club, bermula esok.

Pengerusi Penganjur kejohanan, C Sivanandan berkata, kejohanan tiga hari itu disertai 144 pemain golf remaja dari 14 negara, akan berlangsung di dua padang golf berikutan peningkatan jumlah peserta dan menambah bahawa Jepun adalah negara terbaharu yang akan mendahului perlawanan pada pertandingan tahunan itu.

Untuk rekod, Ern Jun dan Jia Hao masing-masing adalah juara ‘White Tee’ dan ‘Blue Tee’ kejohanan itu pada edisi ke-13, yang diadakan di venue sama tahun lalu.

“Thailand menghantar peserta paling ramai iaitu 33 peserta dan kejohanan itu menetapkan 100 peserta untuk pusingan akhir,” katanya pada sidang akhbar sebelum kejohanan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic Berhad, Eqhwan Mokhzanee dan Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar turut hadir pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Sivanandan, yang juga Pengarah Eksekutif SportExcel, mendedahkan bahawa johan keseluruhan, White Tee dan Blue Tee akan menerima Trofi Cabaran Tan Sri Azman Hashim, yang dinamakan sempena pengerusi Kumpulan AmBank Group itu, dan menambah bahawa pemenang dalam kategori Pasukan Terbaik, akan menerima Trofi Cabaran Tunku Imran.

Katanya, pemain terbaik yang dipilih oleh panel pemilihan kejohanan itu akan menerima biasiswa golf untuk setahun, manakala tiga pemain teratas akan ditawarkan biasiswa sebulan daripada Hills Golf Academy dari Amerika Syarikat.

“Sekiranya peserta yang terpilih enggan menerima biasiswa selama setahun itu, seperti yang berlaku tahun lepas, biasiswa berkenaan akan diberi kepada pemenang tempat kedua berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh panel pemilihan,” tambah Sivanandan.

Kejohanan tahunan itu akan mempertandingkan kategori Blue Tee (Lelaki 13-14 dan 15-18 tahun), kategori White Tee (Perempuan 13-14 dan 15-18 tahun), di samping dua lagi kategori -- Lelaki dan Perempuan C (11-12 tahun), dan kategori Lelaki D (9-10 tahun).

Negara yang akan menyertai kejohanan itu ialah dari India, Taiwan, Indonesia, Switzerland, China, Australia, Thailand, Amerika Syarikat, Brunei Darussalam, Filipana, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:32 PM