SKUAD badminton remaja negara pulang tangan kosong dari Kazan. - FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


DULU ada juara remaja dunia, sekarang apa sudah jadi? Perkara ini dipersoalkan legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj selepas pemain negara pulang tangan kosong dari Kazan, Russia.

Menurutnya, sekarang adalah masanya buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melihat sama ada jurulatih melaksanakan tugas dengan betul.

"Memang pemain tidak beraksi dengan baik dan gagal meraih keputusan cemerlang. Persoalannya sekarang adakah jurulatih melakukan tugas mereka dengan betul?," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar James, sekarang semua harus dilihat dari sudut yang lebih meluas sebelum menyalahkan sesiapa.

"Kalau pemain tidak memberikan aksi terbaik kita harus persoalkan balik adakah jurulatih juga sudah menjalankan tugas mereka dengan baik.

"Apa yang mereka buat sebelum pergi ke sana (Kazan). Ketika berlatih di sini adakah jurulatih melakukan tugas mereka dengan betul. Saya secara jujurnya mengakui kita perlu melihat semula kesilapan kita," katanya.

Kata bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM itu, Malaysia sekarang ini sangat memerlukan jumlah pemain yang ramai untuk menampung kekurangan pemain berkualiti sedia ada.

"Jika memberi alasan mereka tidak bermain baik di sana, bila lagi mereka akan bermain dengan baik. Dulu kita asyik cakap mengenai Datuk Lee Chong Wei, sekarang asyik-asyik Lee Zii Jia.

"Sekurang-kurangnya meraih satu pingat. Apa yang mereka buat saya pun tidak tahu. Sama ada jurulatih melakukan tugas dengan betul, saya juga tidak tahu. BAM harus menilai semula jurulatih.”

Skuad remaja negara bukan saja gagal meraih pingat di Kejohanan Remaja Dunia, malah pulang tangan kosong di Kejohanan Remaja Asia Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:15 PM