AL-Jufferi Jumari. - FOTO Owee Ah Chun
Iskandar Shah Mohamed


BIARPUN tidak menyertai Sukan SEA Filipina, jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari bersyukur sudah melepasi sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) atlet yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

Ia dicapai juara dunia kelahiran Pahang berkenaan selepas meraih pingat emas dalam acara Putera E di Kejohanan Terbuka Malaysia, bulan lalu.  

Al Jufferi, 27, mengakui berdepan kesukaran kerana terlepas peluang bertanding di dua kejohanan penting termasuk Terbuka Belgium akibat mengalami kecederaan bahu sebelum ini.  "Alhamdulilah, berkat doa dan usaha gigih menjalani latihan menghasilkan kejayaan di Terbuka Malaysia sekali gus memberi mata KPI bermakna buat diri saya. 

"Berikutan tidak menyertai kem negara ke Filipina, sasaran terakhir saya kini untuk meraih pingat pada Kejohanan Asia di China, hujung tahun ini," katanya ketika ditemui Arena Metro pada majlis pelancaran Dan's General Store di Mutiara Damansara di sini, hari ini. 

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA) yang juga pemilik hab gaya hidup baharu itu, Fairuz Ramdan. 

Al Jufferi dipilih menjadi antara duta hab itu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pemasaran, gubahan pakaian, tatarias lelaki dan kafe. 

Dalam pada itu, juara empat kali Sukan SEA berkenaan yakin 10 pesilat yang menggalas cabaran negara di Filipina mampu meraih pingat biarpun berdepan saingat sengit atlet Indonesia, Thailand dan Vietnam. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:47 PM