DARI kiri Selvaraju, jurulatih Pistoia HC, Filippo Treno, Medda, Megat D Shahriman dan ketua kabinet Comune Di Pistoia, Giorgio Zuccherini.
Ferzalfie Fauzi

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (KLHA) terus mengorak langkah ke depan dalam sukan hoki dengan terbaru presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin melakar sejarah menjadi individu pertama dari Malaysia dilantik menjadi duta hoki Itali di Malaysia.

Pelantikan itu bertepatan dengan status Megat D Shahriman yang mahu melihat KLHA muncul sebagai negeri hoki paling aktif dan menjadi tumpuan utama di tanah air selain pengaruh dimilikinya.

Menurut Naib Presiden Persekutuan Hoki Itali, Enrico Medda, ia permulaan kepada usahasama antara kedua-dua negara dalam membangunkan sukan hoki di negara masing-masing ke tahap tertinggi.

"Hari ini permulaan kerjasama antara Persekutuan Hoki Itali dan KLHA menerusi presidennya. Kami amat gembira dengan kerjasama antara kedua-dua pihak dan berharap dapat melaksanakan perancangan pembangunan bersama bagi menjayakan sebarang acara hoki," katanya.

Medda juga mengakui mereka amat dahagakan untuk melihat peningkatan keputusan dan Persatuan Hoki Itali gembira memulakan projek ini daripada Pistoia seterusnya berharap dapat dikembangkan ke seluruh Itali dan Malaysia.

Bagaimanapun, ia mungkin tidak menjadi kenyataan jika tidak kerana kepercayaan tinggi Persatuan Hoki Itali ke atas bekas penyerang negara, S Selvaraju yang sudah lima tahun mewarnai kancah liga hoki Itali.

Mereka percaya menerusi kehadiran Selvaraju menjadi antara impak yang membantu meningkatkan tahap hoki di sana sekali gus berharap dapat menjalankan kerjasama dua hala dengan hoki di Malaysia.

Dalam masa sama, menerusi pelantikan itu Megat D Shahriman diberikan kepercayaan sebagai 'orang tengah' untuk membina hubungan antara Pistoia dan Kuala Lumpur yang bukan hanya tertumpu kepada sukan tetapi juga terhadap perniagaan, pertukaran budaya dan perdagangan. Sebagai rekod, Megat D Shahriman yang berusia 36 tahun baharu saja dilantik sebagai Presiden KLHA selepas memenangi pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan pada 29 Jun lalu.

Sejak mengambil alih, beliau juga dilihat bekerja keras dalam menaik taraf hoki di Kuala Lumpur termasuk mengadakan lawatan ke Eropah bermula minggu lalu selain ke Melbourne, Australia pada Ogos lalu bagi mempelajari ilmu hoki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 9:50 PM