FEDERER (kiri) dan Wawrinka bersama pingat emas acara beregu yang dimenangi ketika menyertai Sukan Olimpik Beijing 2008. - FOTO AFP
Reuters

ROGER Federer mengesahkan penyertaan di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan dan berkata dia mendengar kata hatinya sebelum membuat keputusan.

Bintang veteran Switzerland berusia 38 tahun itu kali pertama menyertai Sukan Olimpik di Sydney pada 2000 dan meraih emas acara beregu bergandingan dengan Stan Wawrinka pada 2008 dan perak acara perseorangan pada 2012. Dia terlepas Sukan Olimpik 2016 akibat kecederaan lutut.

"Pada akhirnya, hati saya menentukan saya masih berminat beraksi di Sukan Olimpik,” kata Federer kepada wartawan ketika sesi promosi penajanya, Uniqlo di Tokyo.

Federer berusaha meraih emas pertama acara perseorangan di Sukan Olimpik yang bermula 24 Julai-9 Ogos, satu-satunya gelaran yang belum pernah dimiliki juara Grand Slam 20 kali itu.

"Saya berdebat dengan pasukan saya sejak beberapa minggu lalu malah berbulan sebenarnya, apa akan saya lakukan selepas Wimbledon dan sebelum Terbuka AS (pada 2020),” kata Federer yang bakal berusia 39 tahun ketika Olimpik berlangsung.

"Saya membawa bendera Switzerland dua kali di Athens dan Beijing, saya menang emas dan perak. Saya teruja beraksi kembali jadi saya sangat gembira.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 10:12 PM