DUA pemain Scotland menyekat kemaraan pemain Jepun, Kenki Fukuoka di Yokohama. - FOTO AFP
AFP

SEBELUM ini tiada siapa menyangka Jepun akan layak ke suku akhir Piala Dunia Ragbi tetapi skuad terkenal dengan gelaran ‘Brave Blossoms’ itu berjaya menutup mulut semua pengkritik apabila melangkah ke kelompok lapan terakhir kejohanan menerusi gabungan serangan pantas dan pertahanan mantap.

Selepas Jepun menang semua empat perlawanan sekali gus mengetuai Kumpulan A, arena ragbi dunia mula membuka mata dan sedar skuad tuan rumah itu bukan calang-calang apatah lagi mereka dilihat semakin bagus di bawah kendalian jurulatih, Jamie Joseph.

Joseph yang juga bekas pemain All Blacks, mengumpulkan pemain yang mewarisi ciri-ciri semangat juang bangsa Jepun, selain pemain asing yang layak mewakili negara Matahari Terbit itu selepas menetap lama di sekitar Tokyo.

Skuad Jepun menggabungkan pemain veteran masih berbisa dengan pemain muda yang pantas sekali gus mampu mencipta try serta membantu benteng pertahanan apabila diperlukan.

Siapa sangka Jepun tidak tewas pada perlawanan peringkat kumpulan apatah lagi mereka diundi untuk bersama skuad gergasi Enam Negara seperti Ireland dan Scotland serta Samoa yang terkenal dengan kehebatan masing-masing.

Jepun membuktikan kualiti mereka ketika menundukkan Scotland 28-21 semalam dan benteng pertahanan ‘Brave Blossoms’ dilihat terlalu kebal untuk ditembusi lawan.

“Pada babak pertama, tidak banyak negara yang mampu menghalang Jepun daripada melakukan beberapa try,” kata Matt Dawson yang pernah memenangi Piala Dunia bersama England pada 2003.

“Mereka bermain dengan semangat tinggi dan mereka juga bijak mempertahankan bola selain pergerakan tersusun dan tepat.”

Bekas tonggak Australia, Matt Giteau yang kini bersama kelab Suntory Sungoliath di Liga Utama Jepun, menambah: “Inilah keajaiban Jepun!

“Pencapaian ini sesuatu yang sangat besar buat negara mereka dan ia pasti mengubah kehidupan pemain... Malam yang sangat hebat untuk arena ragbi secara keseluruhannya!!!”

Di suku akhir, Jepun akan menentang Afrika Selatan dan ramai yang menyangka tuan rumah bakal terus menggegar pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 10:24 PM