SOLSKJAER galas tugas getir lonjak imej United. - FOTO Agensi
Agensi

MANCHESTER United sedia memberi sokongan bajet kepada pengurus, Ole Gunnar Solskjaer pada jendela perpindahan Januari depan tetapi memberi amaran mereka tidak akan membayar gaji melampau hanya untuk menyelamatkan pasukan, menurut sumber kepada ESPN FC.

Naib Pengerusi Eksekutif Glazers, Ed Woodward mengakui skuad Solskjaer kekurangan pemain di bahagian tengah dan serangan selepas pemergian Romelu Lukaku, Alexis Sanchez dan Ander Herrera.

United sedia memperkasakan posisi utama pada Januari depan tetapi menegaskan tidak sedia menawarkan yuran dan gaji tinggi selepas permulaan kempen mengecewakan Liga Perdana musim ini yang menyaksikan skuad Solskjaer menduduki tangga ke-12 menjelang aksi getir menentang Liverpool pada Ahad ini.

Penyerang Juventus, Mario Mandzukic, 33, kekal menjadi buruan untuk bergandingan dengan Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood di bahagian serangan tetapi dia perlu mengurangkan gaji diminta jika berhasrat berpindah ke Old Trafford.

Pemain tengah, Ivan Rakitic boleh dibeli daripada Barcelona tetapi sumber berkata kepada ESPN FC perpindahan ke United tak mungkin berlaku susulan masalah keluarga.

Sasaran jangka panjang seperti tonggak Leicester-James Maddison, pemain tengah West Ham-Declan Rice, pemain tengah Aston Villa-John McGinn, penyerang Bournemouth-Callum Wilson dan Lyon, Moussa Dembele hanya boleh direkrut pada musim panas akan datang.

Sementara itu, Solskjaer menjangkakan Daniel James boleh diturunkan menentang Liverppol selepas pemain sayap itu menafikan dia pengsan ketika Wales seri 1-1 dengan Croatia, semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak sedarkan diri selepas bertembung dengan Domagoj Vida tetapi selepas itu menegaskan dia OK.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 12:23 AM