Hafizh akan beraksi di litar Twin Ring Motegi hujung minggu ini. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


GRAND Prix Jepun tidak pernah mengecewakan Hafizh Syahrin Abdullah tetapi dia dijangka berdepan kesukaran pada aksi hujung minggu ini di Litar Twin Ring Motegi.

Dengan tiada penambahbaikan di jenteranya sejak awal musim seperti yang sudah diakuinya sendiri, pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu dilihat akan terus bergelut terutama dalam usahanya untuk mengutip mata.

Hafizh bagaimanapun yang sudah mengumumkan akan kembali ke Moto2 musim depan bersama pasukan Angel Nieto tetap bersikap positif.

"Litar di sini (Motegi) amat menarik dan saya amat menggemarinya. Tapi saya tahu ia bukanlah perlumbaan yang mudah.

"Saya akan berikan yang terbaik seperti kebiasaannya sehinggalah ke penghujung musim ini," katanya.

Jelas Hafizh, fokus utamanya ketika ini adalah untuk menamatkan perlumbaan dengan keputusan paling baik pada baki pusingan selepas ini.

"Perlumbaan terakhir di GP Thailand tidak begitu kompetitif untuk saya. Jadi saya berharap memperoleh keputusan lebih baik di Motegi," katanya.

Pencapaian terbaik Hafizh di litar itu adalah podium ketiga ketika beraksi di saingan Moto2 pada 2017 manakala pada musim pertamanya di kelas MotoGP tahun lalu, dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10.

Selepas 15 pusingan, Hafizh hanya mampu mengutip tujuh mata untuk berada di kedudukan ke-24 keseluruhan kelas utama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 4:46 PM