Steven Sim (empat dari kanan) ketika senamrobik di UiTM Dungun. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham 

 

IMPIAN rakyat Terengganu untuk melihat Velodrom Azizulhasni Awang akan menjadi kenyataan apabila stadium terbabit akan memulakan kerja pembinaan November ini. 

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk membina velodrom berkenaan dengan segera memandangkan pembinaannya sudah lama tertangguh. 

Menurutnya, velodrom yang bernilai RM14 juta itu akan dilakukan secara tender terbuka dan lantikan kontraktor akan dibuat dengan seberapa segera. 

"Sebaik pemilihan dibuat, kita berharap supaya kontraktor segera melakukan kerja pembinaan velodrom itu.

"Sudah dua Menteri Belia Dan Sukan menjanjikan pembinaannya namun ianya masih belum dilaksanakan.

“Kita mengambil keputusan untuk segerakan pembinaannya tahun ini," katanya selepas merasmikan pelancaran Sambutan Bulan Sukan Negara dan Pelepasan Tour Paninsular Malaysia 2019 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, Rektor UiTM Dungun, Prof Madya Dr Mazidah Puteh dan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah. 

Steven berkata, sekiranya tiada halangan, pembinaan velodrom itu dijangka akan siap sepenuhnya dua tahun lagi. 

"Pembinaan velodrom itu sebagai mengenang jasa jaguh berbasikal bertaraf dunia, Azizulhasni yang berasal dari Dungun. 

"Kerajaan melalui Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) sangat komited demi membangkitkan semangat supaya sukan berbasikal terutamanya anak Terengganu melakukan kecemerlangan berterusan," katanya. 

Menurutnya, dengan terbinanya velodrom nanti kerajaan berharap supaya pelbagai acara perlumbaan basikal bertaraf dunia dapat dianjurkan di negeri ini. 

Sementara itu, Steven berkata, sebagai hadiah kedua kerajaan pusat kepada Terengganu lagi, sebanyak RM10 juta diluluskan untuk membina Pusat Kecemerlangan Sukan Air di Pulau Duyung. 

"Untuk tujuan pembinaan itu, kita menghadapi sedikit halangan berikutan jalan masuk kena pada tanah penduduk. 

"Bagaimanapun perkara itu sudah saya bincangkan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah itu. 

"Apabila masalah terbabit selesai kerajaan akan segera membina Pusat Kecemerlangan itu dengan segera," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 5:25 PM