Talib (tengah, empat dari kiri) serta Nurul Huda (tengah) bersama skuad sepak takraw di Bukit Jalil. STR/OWEE AH CHUN.
Ferzalfie Fauzi


KETUA jurulatih sepak takraw negara, Abd Talib Ahmad mempunyai pelan A dan B untuk mempersiapkan tekong ke Sukan SEA 2019 susulan penggantungan Muhammad Zulkifli Abd Razak dan Mohd Syahir Rosdi.

Menurutnya, sekarang ini beliau berasa lega kerana sudah nampak jalan penyelesaian antara dua tekong berkenaan bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Abd Talib berharap Zulkifli dan Syahir dapat melakukan rayuan dengan kadar segera mengikut peraturan yang ditetapkan oleh PSM.

“Selepas membuat rayuan saya minta persatuan mempertimbangkannya. Apa pun saya akur dengan keputusan PSM dan kami sudah bersiap sedia sama ada dapat menggunakan khidmat mereka atau tidak.

“Kami sudah ada pelan A dan B. Sebenarnya banyak perkara kita fikirkan sejak Zulkifli dan Syahir tidak bersama skuad bermula Jun lalu.

Ia termasuk dari segi prestasi dan pemain yang ada sekarang,” katanya ditemui di majlis Lawatan Timbalan Chef-Mission, Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli di Kuala Lumpur, hari ini.

Ujarnya, masing-masing sedang berebut tempat dalam skuad dan seandainya mereka (Zulkifli dan Syahir) kembali nasib 12 pemain yang ada sekarang mungkin berubah.

“Perkara ini perlu difikir secara meluas dan saya sentiasa menekankan soal kerja berpasukan yang mampu mendatangkan hasil,” katanya.

Ditanya mengenai tekong lain, Abd Talib merujuk kepada dua pemain Hairul Hazizi Haidzir dan Said Ezwan Said De untuk menggalaskan tanggungjawab seandainya tidak dapat menggunakan Syahir dan Zulkifli.

“Sebelum ini di Piala Raja Thai kedua-dua mereka (Hazizi dan Said) menunjukkan perkembangan positif sehinggakan Thailand terpaksa menggunakan kelima-lima pemain mereka.

Sebenarnya ia bergantung kepada hari temasya berkenaan,” katanya.

Zulkifli dan Rosdi dikenakan hukuman gantung 24 bulan PSM namun mereka masih dibenarkan membuat rayuan kepada badan induk berkenaan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:20 PM